Sunday 23 June 2013

Bila Gambar Bercerita


Aku suka tengok gambar-gambar lama. Cuma gambar-gambar lama keluarga aku, satu demi satu lesap entah di mana. Ada yang kata ada di rumah si anu dan ada yang bilang ada di rumah si polan. Mungkin satu hari nanti, aku nak berkunjung ke rumah-rumah sanak saudara dengan membaca scanner. Nak scan gambar-gambar keluargaku yang mungkin ada dalam koleksi mereka. Jangan bimbang, aku bukan yang rampas gambar-gambar tersebut. You got my word :)

Gambar di atas diambil pada tahun 1982, kalau tak silap aku. Ketika itu, Mira baru berusia dua tahun. Comel betul Mira masa kecil-kecil. Rambutnya ikal dan lebat. Gambar itu diambil bersama-sama dengan arwah Nek Long, kakak sulung arwah Cikgu Jaafar. Satu bapa tetapi berlainan emak. Nek Long bermastautin di Bukit Senggeh. Jadi, kalau Nek Long datang ke Pasir Puteh, biasanya ada kenduri ataupun majlis perkahwinan. Tak silap aku, majlis perkahwinan sepupu Abah iaitu Angah Ata.

Ada dua benda dalam gambar ini yang menarik minat aku. Pertamanya, reban ayam di belakang sebelah kiri kami. Di situ biasanya, arwah Nek Mok (adik arwah Cikgu Jaafar) akan menempatkan anak-anak ayam yang baru menetas. Bercerita pasal ayam, aku acapkali bergaduh dengan arwah Nek Mok gara-gara ayam.

Ayam aku (yang dibela oleh ibu bapaku) dicakapnya ayam dia dan ayam dia dicakapnya ayam aku. Kadang kala ayam-ayam kampung ini lebih kurang sama bulu dan susuknya. Semoga Allah ampunkan aku dan arwah Nek Mok. Walaupun selalu kena hamun dengan arwah Nek Mok, sayang juga dia dengan aku. Ingat lagi kamera mainan yang dibelikan untuk aku semasa Nek Mok mengerjakan haji dulu. Seronok sakan aku bermain dengan kamera yang ada gambar-gambar Kaabah, Hajar Aswad dan Makkah. Dan aku ingat lagi, kenangan Nek Mok membawa aku dan Nazrol mengikuti rombongan orang kampung ke Kelantan.

Satu lagi benda yang menarik perhatian aku ialah jamban yang di belakang sebelah kanan kami. Dulu jamban kami di luar rumah. Aku pun tak pasti kenapa. Bilik mandi dalam rumah tetapi jamban di luar rumah. Mungkin orang dulu-dulu berpendapat tak baik membawa benda kotor ke dalam rumah kot. Dan jamban itu tak ada pili air. Jadi sekiranya kami ingin menunaikan hajat, kami terpaksa mengangkut sendiri sebaldi air ke dalam jamban. Dan jamban itu jugalah tempat Along Zam curi-curi hisap rokok!

Sekarang ini, kedua-dua benda itu sudah tiada. Lama juga ia telah dirobohkan. Reban itu dirobohkan sebab Nek Mok telah bina reban baru yang lagi besar di belakang jamban itu. Manakala, jamban itu dirobohkan kerana arwah Ayah Ameng telah membina jamban dalam rumah pusaka peninggalan moyang.

Best juga tengok gambar lama ni. Terimbau kenangan-kenangan lalu.

No comments: