Saturday 17 November 2007

Space Tourism? Hmmm...

Although Physics was one of my least favourite subjects in my school days, I am always have a great interest in aerospace. Alhamdulillah, one Malaysian - Dr. Sheikh Muszafar (I really do not know how to spell his name) has successful in realising his dream to outer space. Although it was not a cheap project, at least we managed to add one more item into our another Malaysia Boleh success stories list.


I received an email yesterday from one of my mailing list groups, which I found out very interesting.

Again, like I mentioned earlier that I am not good this subject matter so I cannot comment much about the points highlighted by the author of the letter. If anyone has anything to say, please do not hesitate to jot down comment at the bottom of this posting.

And here is the said letter (in Bahasa Melayu).

****************************************

16 November 2007

Professor Dr. Mohd Yusuf Othman
Pengarah
Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia

Assalamualaikum,


Professor,

PENJELASAN PROFESSOR DR. MOHD YUSUF OTHMAN BERKENAAN PROGRAM ANGKASAWAN NEGARA DALAM AL-ISLAM

Pada pagi ini, saya terbaca suatu kenyataan dalam akhbar tempatan dari seorang pelajar cemerlang UPSR yang meletakkan kejayaannya berpunca daripada motivasi akibat kejayaan angkasawan negara sampai ke ISS dan kembali dengan selamat pada akhir bulan lepas. Walaupun kita sedar bahawa pencapaian cemerlangnya langsung tiada kaitan dengan misi angkasawan negara itu, tetapi adalah kerana usahanya sendiri dan juga cikgu-cikgu yang telah mendidiknya selama beberapa tahun, tetapi disebabkan pelajar itu baru berusia 12 tahun, maka saya tidaklah tergerak untuk mempersoalkan kenyataannya.

Tetapi selepas itu, saya terbaca pula kenyataan Professor berkenaan program angkasawan negara dalam Al-Islam keluaran terbaru, maka tergeraklah saya untuk mempersoalkannya.

Professor menyatakan bahawa orang yang melihat program angkasawan negara sebagai satu pembaziran adalah orang yang berpandangan sempit dan negatif. Professor juga menyatakan bahawa orang Islam patut menguasai teknologi angkasa, bukan sekadar menjadi penggunanya.

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Professor bahawa orang yang melihat program angkasawan negara sebagai satu pembaziran adalah orang yang berpandangan sempit dan negatif.

Saya juga berpendapat penjelasan yang diberikan oleh Professor dalam Al-Islam terhadap program angkasawan negara tidak melambangkan kenyataan Professor bahawa orang Islam patut menguasai teknologi angkasa, bukan sekadar menjadi penggunanya.

Sebahagian daripada program angkasawan ini, iaitu misi angkasawan negara pertama hanya boleh diterima sebagai sesuatu yang tidak membazir jika kerajaan Malaysia terpaksa menerima tawaran menghantar seorang angkasawan ke ISS, iaitu kerajaan Malaysia tidak mempunyai pilihan lain seperti menghantar 1000 orang pelajar ke Russia bagi melengkapkan ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa atau membina 100 unit makmal sains angkasa di 100 buah sekolah di seluruh negara atau aktiviti lain dengan kos yang sama menghantar seorang angkasawan ke ISS, tetapi mendatangkan lebih banyak manfaat dalam bidang pembangunan aeroangkasa kepada rakyat dan kerajaan Malaysia.

Pembaziran sebenarnya berlaku apabila kerajaan terpaksa mengekalkan populariti program angkasawan negara dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang memerlukan kepada peruntukan kewangan yang banyak dan penglibatan pelbagai pihak. Pengekalan populariti ini terpaksa dilakukan bagi membuktikan bahawa penghantaran misi angkasawan negara pertama ke ISS adalah suatu aktiviti yang betul dan praktikal. Maka terpaksalah kerajaan meneruskan aktiviti ini dengan menghantar seorang lagi angkasawan. Misi angkasawan kedua ini adalah berkali ganda lebih membazir.

Jika kerajaan tidak mengumumkan misi angkasawan kedua, program angkasawan negara akan dikritik kerana ia tidak mempunyai kesinambungan, tetapi apabila kerajaan mengumumkan misi angkasawan kedua, program ini dikritik pula kerana membazir. Sebenarnya fenomena yang merugikan kerajaan dan rakyat Malaysia tetapi menguntungkan kerajaan dan rakyat Russia ini memang telah diduga oleh kerajaan Russia. Maka terperangkaplah kerajaan dan rakyat Malaysia. Walaupun membazir di segi kewangan, masa dan tenaga, terpaksalah kerajaan menghantar seorang lagi angkasawan ke ISS.

Bagi membuktikan program angkasawan negara ini betul dan praktikal serta tidak membazir, maka diselitkan aktiviti yang dipanggil penyelidikan saintifik oleh ANGKASA. Seterusnya diumumkan bahawa objektif penghantaran angkasawan ke ISS ini adalah untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi. Kemudian diceritakan pula bahawa program ini bukanlah pakej pelancongan angkasa yang ditawarkan oleh ROSCOSMOS, tetapi program khas pembangunan teknologi angkasa Malaysia.

Walau bagaimanapun, dengan kemudahan teknologi maklumat pada era internet hari ini rakyat Malaysia sedar bahawa aktiviti yang dikatakan penyelidikan saintifik itu, iaitu CIS (Cell in Space) dan MIS (Microbe in Space) sebenarnya adalah aktiviti saintifik yang paling biasa dan paling mudah dilakukan oleh peserta penerbangan angkasa ISS. Rakyat juga sedar bahawa CIS dan MIS yang disediakan oleh ANGKASA itu tidak tersenaraikan sebagai penyelidikan saintifik Expedisi 15 dan 16 ISS. Malah rakyat juga sedar bahawa sesiapa sahaja yang berpeluang menjadi peserta penerbangan angkasa juga berpeluang untuk terlibat sama sekadar membantu menjalankan aktiviti saintifik ESA, NASA, ROSCOSMOS atau JAXA.

Rakyat Malaysia juga sedar bahawa misi angkasawan pertama sebenarnya adalah pakej pelancongan angkasa ke ISS yang ditawarkan oleh ROSCOSMOS dan telah dibeli oleh 5 orang pelancong angkasa sebelum ini. Malah ada di antara pelancong angkasa ini yang telah menjalankan aktiviti yang serupa dengan CIS dan MIS ketika melancong di ISS. Laman web rasmi NASA dan ENERGIA ROSCOSMOS sehingga surat ini ditulis juga masih menamakan angkasawan negara sebagai peserta penerbangan angkasa ataupun pelancong angkasa.

Rakyat Malaysia juga sedar terdapatnya beberapa pakej lagi yang ditawarkan oleh ROSCOSMOS yang lebih menarik daripada misi angkasawan pertama negara. Antaranya pakej pelancongan ke ISS yang melibatkan spacewalk dan pakej berbulan-madu di ISS. Malah ROSCOSMOS juga merancang untuk menawarkan pakej melancong mengelilingi Bulan. Maka rakyat juga sedar, misi angkasawan kedua berkemungkinan besar akan merupakan suatu lagi pakej pelancongan angkasa ROSCOSMOS.

Rakyat Malaysia juga sedar bahawa adalah tidak berbaloi untuk menghantar seorang angkasawan ke ISS semata-mata untuk mempromosikan sains dan teknologi kepada pelajar sekolah.

Ketika era program Apollo, memang terdapat statistiks yang menunjukkan peningkatan dalam jumlah pelajar Fiziks dan Kejuruteraan di universiti di Amerika Syarikat. Peningkatan ini bukanlah disebabkan oleh penghantaran angkasawan ke bulan oleh NASA, tetapi disebabkan oleh pembangunan kenderaan pelancar dan modul Apollo. Pelajar Fiziks dan Kejuruteraan tertarik kepada kenderaan pelancar dan modul Apollo yang pada ketika itu merupakan suatu teknologi angkasa yang canggih. Teknologi inilah yang mendorong minat mereka terhadap Fiziks dan Kejuruteraan, bukannya angkasawan yang pergi ke bulan.

Rakyat Malaysia juga sedar bahawa kenderaan pelancar Soyuz yang membawa angkasawan pertama negara tidak ada bezanya dengan kenderaan pelancar Soyuz yang membawa Yuri Gagarin ke angkasa pada tahun 1961, kecuali sistem komputer, komunikasi dan pengawalan serta komponen yang tidak wujud 45 tahun yang lalu. Maka tidak ada langsung kemungkinan berlakunya pemindahan teknologi secara sengaja ataupun tidak sengaja dalam program angkasawan negara ini.

Walau bagaimanapun, memang ada rakyat Malaysia yang tidak sedar akan semua perkara yang dinyatakan ini. Merekalah sahaja yang bersetuju dengan pendapat Professor yang menyatakan bahawa sesiapa yang menganggap program angkasawan negara ini membazir adalah berfikiran sempit dan negatif.

Bagi menguasai teknologi angkasa, dan tidak sekadar menjadi penggunanya, orang Islam tidak boleh membazir menghantar angkasawan ke ISS menggunakan Soyuz. Orang Islam mesti membangunkan sistem pengangkutan angkasa sendiri.

Orang Islam juga tidak perlu membangunkan sistem pengangkutan angkasa yang berupa kenderaan pelancar seperti Soyuz yang telah ketinggalan zaman. Konsep guna-sekali Soyuz wujud disebabkan kenderaan pelancar ini dibangunkan dari konsep rekabentuk dan operasi peluru berpandu antara benua yang sesuai pada era perang dingin di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Perang dingin ini telah membuatkan kerajaan Amerika Syarikat dan Soviet Union melabur dengan begitu banyak sehingga mewujudkan sistem pengangkutan angkasa berasaskan peluru berpandu antarabenua seperti Soyuz. Disebabkan operasi kenderaan pelancar seperti ini melibatkan begitu banyak pihak dan mempengaruhi ekonomi dan politik mereka, maka kerajaan Amerika Syarikat dan Russia terus mengekalkannya pada hari ini dengan membiayainya melalui aktiviti penghantaran satelit dan angkasawan secara komersil. Usaha ROSCOSMOS membawa pelancong angkasa dan angkasawan Malaysia adalah usaha terbaru ROSCOSMOS membiayai pengekalan konsep kenderaan pelancar guna-sekali.

Orang Islam tidak perlu berbelanja untuk membiayai usaha kerajaan Amerika Syarikat dan Russia menanggung beban produk perang dingin ini, tetapi memfokuskan kepada pembangunan kenderaan pelancar guna-semula yang sesuai dengan era hari ini, yang lebih bersifat ekonomi berasaskan pasaran daripada ekonomi berasaskan politik.

Pada hari ini prototaip kenderaan pelancar guna-semua suborbital yang boleh membawa seorang manusia ke angkasa iaitu lebih tinggi dari 80km dari aras laut boleh dibangunkan dengan kos yang lebih rendah dari menghantar seorang angkasawan ke ISS. Prototaip ini juga boleh diterbangkan ke angkasa berkali-kali membawa individu yang berlainan dalam setiap penerbangannya.

Prototaip ini seterusnya boleh dibangunkan lagi sehingga ke versi yang boleh berfungsi membawa penumpang secara komersil. Kenderaan pelancar guna-semula suborbital ini juga boleh berfungsi sebagai pelancar satelit kecil, pelantar pencerapan Bumi, pelantar penyelidikan atmosfera dan mikro-graviti dan pelantar misi strategik untuk pertahanan.

Seterusnya kenderaan pelancar guna-semula orbital yang boleh terbang lebih tinggi mengorbit Bumi boleh dihasilkan untuk ke ISS atau lokasi lain di orbit. Teknologi ini tidak boleh diperolehi melalui program angkasawan negara yang menghantar angkasawan ke ISS menggunakan Soyuz, tetapi hanya boleh diperolehi dari program angkasa yang lebih kreatif dan tidak membazir.

Maka rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa program angkasawan negara adalah suatu pembaziran bukanlah berfikiran sempit dan negatif seperti yang didakwa oleh Professor. Orang Islam yang berfikiran seperti itu mungkin tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi angkasa, tetapi berhasrat untuk menguasai dan menerajuinya.

Sekian terima kasih.



Norul Ridzuan Zakaria
President
Space Tourism Society Malaysia Chapter
(E: ikam290200@hotmail.com . HP: 013-6648622)


Salinan:

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Pengerusi Eksekutif Al-Islam

No comments: