Sunday 30 November 2008

Selamat Pengantin Baru, Pakcik Mamat!

Post ini sudah lama tertangguh. Kurang lebih sebulan setengah. Ini adalah majlis pernikahan sepupu kepada Abah aku, kira pangkat bapa saudara. Tapi, memandangkan kami sebaya, dan membesar sama-sama, aku cuma memanggilnya, Mamat dan dia (serta seluruh warga kampung Pasir Puteh) panggil aku... Has (baca: As). Mus... kalau kau ketawa, jaga kau! hehehe.

Masa kecil dulu, kami bertiga - aku, Mamat dan Jali, seorang lagi sepupu Abah aku, ke sana ke sini bersama-sama. Bergusti di serambi rumah Nek Kotak (aku pun tak tahu bagaimana adik Nenek aku ini boleh dapat gelaran sedemikian, sedangkan namanya ialah Jamaliah), bermain rounders di kawasan lapang sebelah Masjid As-Syakirin, berkubang di benteng (baca: tali air) ataupun membuntuti jentera yang membajak sawah milik Dr. Zaleha, sambil meraba-raba serkap dengan harapan meluap-luap untuk mencekak ikan haruan ataupun keli.

"Bila korang nak kawin ni? Sementara aku masih hidup ni, nak tengok kamu naik atas pelamin," tutur Nek Angah, yang juga mak Pakcik Jali.

"Tunggu dak As kawin dulu. Dia dah ada serba serbi," jawab Mamat.

"Eh, mana boleh anak buah melangkah bendul. Betul tak, Nek?" Nek Angah cuma menggeleng. Dan kami menerbitkan tawa kecil.

"Kau balik tau!" pesan Mamat bersungguh-sungguh, ketika aku berjumpa dengannya pada pagi Aidilfitri yang lalu. Riak mukanya ceria dan manis, bagai sudah terbayang-bayang nikmat berumahtangga.

"Insya-Allah, aku akan balik."

Ketika majlis pernikahan Mamat di Masjid Limbongan, Jali sedang ditahan di wad Hospital Besar Melaka. Dia dilanggar lori ketika hendak ke tempat kerja. Seperti aku, Pakcik Jali juga tumpang gembira dengan berita baik ini. Riak mukanya disaksikan aku ketika melawatnya, sesudah aku menghadiri majlis akad nikah Mamat.

"Lah... adik kau rupanya, Faizal?" ujar aku sambil bersalaman dengan Faizal, rakan sekolah aku ketika di Sekolah Tinggi Melaka.

"Sorang je?" tanya Faizal, dengan dua orang anak di kiri kanannya. Sambil tersenyum, aku mengangguk.

Selamat Pengantin Baru, Pakcik Mamat. Semoga berbahagia santak ke akhir hayat.

"Manalah Tok Kadi ni?"

"Awak setuju untuk dinikahkan?"

"Sejuknya tangan kau ni!"

"Nak baca semua ni ke, Tok Kadi?"

"Ini adalah mas kahwinnya"

"Sarungkan perlahan-lahan, nak. Makcik nak ambil gambar ni!"

"Terima kasih, kanda!"

"Sayang, dinda!"

Thursday 27 November 2008

Duit Untuk Budak Hitam

Aku masih ingat lagi wajah budak itu. Wajah itu betul-betul melekat dalam ingatan. Begitu juga lalat-lalat yang bertenggek, mengelilingi kelopak mata dan bibirnya kering. Budak itu dipangku oleh ibunya yang turut lemah kudratnya.

Ketika itu, aku baru berusia 10 tahun.

Sejak daripada hari itu, aku bahagikan wang saku kepada tiga bahagian. 30 sen untuk sepiring mee goreng ataupun nasi goreng dan segelas air sirap. 10 sen untuk disimpan dalam tabung gajah yang aku dapat ketika bertikam di funfair di Bandar Melaka dan 10 sen lagi untuk disimpan dalam kendi.

Kalau tak silap ingatan aku, ketika penghujung tahun, aku berjaya menyimpan kurang 30 sen, RM8. Aku terus mendapatkan Mak.

"Along nak bagi kepada budak hitam tu, Mak. Kasihan dia, tak ada makanan, tak ada pakaian."
"Budak hitam mana?", tanya Mak bersungguh-sungguh.

"Yang dalam TV hari tu," jawab aku sambil menunjukkan TV warna yang baru dibeli oleh Abah awal tahun 1987. Itu pun setelah didesak oleh aku dan Mira, selepas menonton Juara Muzik-Muzik 1986 di rumah jiran.

Satu petang di awalan bulan Disember, Mak mengajak aku dan Mira ke Kampung Jawa. Hendak beli baju dan kasut sekolah baru. Mak suruh aku bawa sekali duit untuk budak hitam.

"Kita nak pergi rumah budak hitam tu ke, Mak? Dia tinggal di Melaka ni ke?"

Mak cuma mendiamkan diri. Sampai sahaja di Stesen Bas Bandar Melaka, kami pun menaiki beca ke Kampung Jawa. Aku dan Mira gembira sakan kerana masing-masing dapat dua pasang pakaian sekolah dan sepasung kasut baru. Dan juga beg sekolah dan botol air baru.
Untuk perjalanan pulang, Mak membawa aku dan Mira berjalan kaki.

"Apa kata Along sedekah duit tu kepada Atok tu?" ujar Mak sewaktu kami menaiki Jambatan Hang Tuah, 400 meter daripada stesen bas.

"Tapi duit ni untuk budak hitam, Mak!"

"Budak hitam tu tinggal jauh di benua Afrika. Macam mana Along nak pergi dan bagi? Kena naik kapal terbang baru boleh sampai."

Aku menarik muka.

"Okey lah, Along simpan saja duit tu. Lepas ni simpan pula duit untuk beli tiket kapal terbang," ujar Mak sambil menarik tangan sebagai signal untuk meneruskan perjalanan. Ketika melewati lelaki tua itu, aku sempat menangkap wajah sedihnya. Apabila terpandang sahaja kaki kirinya yang kudung, aku cepat-cepat mengalihkan pandangan. Dan aku mempercepatkan langkahku.

"Kalau Along kena kejar penjahat ke, anjing ke, Along boleh lari menyelamatkan diri kan? Along rasa Atok tu boleh lari tak?" tutur Mak sejurus kami menuruni jambatan tersebut.

"Duit ni Along simpan untuk budak hitam, Mak."

Mak cuma mengangguk. Mira mengejekku bila aku memandangnya. Beberapa langkah kemudian, aku menarik-narik tangan Mak.

"Mak tunggu ya. Along nak beri duit ni kepada Atok tu. Mak tunggu tau," ujarku sebelum berlari mendapatkan lelaki tua itu.

Nanti aku simpan lagi untuk kau ya, budak hitam. Nanti aku simpan lagi, getusku dalam hati.


Note: This post was first published on BNM Volunteers Community Blog.

Monday 24 November 2008

Berkelah di pantai yang indah...

Tajuk post ini aku ambil dari bait lagu yang aku pelajari di Tabika Kemas.

Tiba-tiba, mereka yang berada di sekeliling aku pasang hajat untuk berkelah. Termasuk teman serumah aku, yang bersama-sama tiga empat kawannya, pergi berkelah di Sungai Tekala (ke Sungai Berkala?) hari Sabtu yang baru berlalu.

Memandangkan aku sudah buat janji dengan bapa dan ibu saudara aku, aku terpaksa menolak pelawaan tersebut.

"Jomlah kita pergi Sabtu depan," ujar Mak Lang aku, semasa aku bangkit tentang gambar-gambar perkelahan mereka di Ulu Yam, yang aku lihat dalam akaun myspace sepupu aku, Aman.

"Ni bukan yang di luar tu. Masuk dalam lagi, betul-betul tak jauh dari kebun Achik kau!" tutur Mak Lang lagi.

Sejak Achik Malek beli kebun dan berkebun di situ, acapkali keluarga besar kami ke sana untuk beristirehat. Dan acapkali juga aku ketinggalan lantaran kerja dan komitmen yang tak sudah-sudah.

"I cadangkan awak pergi Sungai Sedim. Kak Sharifah dah pergi, memang best!" tutur Kak Sharifah kepada aku dan adiknya, yang dari tadi memicit-micit kepalanya. Mereka baru balik dari Kuala Gandah, selepas sehari berpanas menonton gajah-gajah di Taman Pemuliharaan Gajah, Pahang.

"Mentang-mentanglah percuma, kemudahan pun ala-ala saja!" getus Kak Anna.

"Jomlah kita berkelah minggu depan, di Bukit Belachan!" cadang aku kepada Sham, Mus, abang Jamal dan Nizam. Masing-masing memandang antara satu sama lain dengan senyum-senyum yang tak berapa menjadi.

"Bukit Tinjau ke, sambil makan sandwich sardin." Masing-masing diam seketika, sebelum topik perbualan tukar kepada Camelia membeli belah di Petaling Street dan pose Nasha Aziz ketika trauma diintip!

Hujung minggu ini, selain menonton Selamat Pagi Cinta bersama dengan Kak Sha, Azzril dan Farid, aku juga belajar tentang sungai, air terjun dan perkelahan.

Sekejap... bukan ke Sungai Sedim tu di Kedah. Salah satu lokasi menarik untuk white water rafting.

Hehehe... Kak Sharifah... Kak Sharifah... Ke aku yang salah dengar?


p/s: Happy birthday to my former boss, Alison Ang Ing Ing, my cousin Fauzi in London, my classmate (we still are until our graduation next month), Mohammed Elamin, who's currently doing his intern in New York and one of my Manchester buddies, Sharil. All the best in your undertakings.

Thursday 20 November 2008

Battle of the Divas


Kelmarin, aku dan Ajoy borak-borak pasal penyanyi kegemaran masing-masing. Hanya satu nama sahaja keluar daripada mulut rakan serumah aku itu. Sementara aku, menuturkan beberapa nama.

"Kalau kau nak anjurkan konsert, siapa yang kau nak beraksi di atas pentas?", tanya Ajoy.

"Tanpa ragu-ragu, semestinya Liza Aziz, Adibah Noor dan Dina!"

"Dina? Macam mana dengan penyanyi kegemaran kau iaitu Ning Baizura, Nora dan Ramlah Ram?"

"Nope, not in my list" jawab aku pendek.



Setelah seketika, aku pun memperincikan jawapan aku. Ketiga-tiga penyanyi ini hanya perlu mempersembahkan vokal masing-masing untuk menghiburkan semua. Tak perlu nak buat silap mata ataupun bergantung kepada penari-penari latar. Nyanyian mereka berkarektor.

"Ning Baizura?"

"Mungkin sebagai artis jemputan," jawab aku pendek sebelum menanyakan pilihannya.

"Ziana Zain, Ning Baizura, Aishah, Misha Omar dan Nora."

Dalam diam aku berfikir, mengapa nama Siti Nurhaliza tiada dalam ingatan kami?


p/s: Aku sekarang sudah menjadi warga "Anda tentukan!"

Monday 17 November 2008

Ole-ole dari kampung

Dalam perjalanan ke Nilai pagi semalam, tiba-tiba Mak bercerita tentang tingkah laku kami adik beradik. Majlis khatan dan khatam Quran itu sepatutnya dilangsungkan pada hari Sabtu, tetapi terpaksa ditangguhkan sebab ada hal keluarga. Tergendala juga hasrat aku untuk ke Bandar Baru Bangi bagi menghadiri satu jemputan majlis perkahwinan adik kepada rakan sepejabat aku.

Mak mengimbau kenangan aku kepada episod "kehilangan" aku di Melaka Shopping Centre, pusat membeli belah yang terbesar di Melaka sekitar tahun 70an dan awal 80an. Kemudiannya diambil alih oleh The Store, sebelum tutup kedai ekoran perpindahan stesen bas negeri ke Melaka Sentral.

"Nakal Along lain daripada nakal si Fizul ataupun si Lan," ujar Mak, sambil disambut senyuman-senyuman nakal daripada Mira dan Lia. Abah cuma diam mendengar.

"Dia lari ke sana, lari ke sini, suruh kita cari. Akhirnya dia sergah kita!"

"Macam tu, lain ke Mak?" soal Lia, seolah-olah mencucuk Mak agar terus cerita lagi.

"Kalau si Fizul ataupun si Lan nak sesuatu benda tu, dia akan menangis sehingga dapat benda tu. Along kau tidak, dia pandang saja benda tu. Membatu, membisu. Kalau Mak cakap, kita beli lain kali saja, dia menurut. Tak macam si Fizul, lagi kuat dia merengek!"

Mira yang ketawa paling kuat!

"Kau ingat lagi, Long?"

"Ingat, Mak. Along menangis sebab tak dapat jumpa Mak. Kemudian ada seorang kakak ni, bawa Along pergi ke 'jaga', dan terus dia bawa ke pejabat".

Ya, aku masih lagi ingat episod itu. Melekat kukuh di ingatan ini. Dan aku juga ingat bait-bait pengumumannya.

"Kepada ibu bapa yang kehilangan seorang kanak-kanak lelaki, berbangsa Melayu, sila ke pejabat pengurusan di Tingkat 3. Terima kasih!"

Mak cuma tersenyum. Sekali lagi, Mira dan Lia menguntumkan senyuman-senyuman nakal. Abah? Hanyut di dalam dunianya, aku rasa.


p/s: Congratulations, Tan Sri Dato' Sri Dr Zeti Akhtar Aziz and Dr. Jomo Kwame Sundaram on their appointment to a UN high-level task force to examine global financial reform.

Friday 14 November 2008

Balik Kampung

Kalau ikutkan perancangan awal, aku sepatutnya ke majlis pra-tonton filem Los Dan Faun, karya terbaru Afdlin Shauki di Cathay Cineleisure Damansara. Acara tersebut dijadualkan hari ini, jam 15.00.

Tetapi macam malas pula nak pergi, sebabnya (1) aku bukannya penggemar filem-filem Afdlin Shauki, dan (2) rasa jauh pula hendak ke Damansara Mutiara. Nanti, sudah memandu jauh-jauh (tak ambil kira tentang kecenderungan aku untuk sesat, lebih-lebih lagi kawasan-kawasan yang aku tidak familiar!), tup tap, filemnya mendukacitakan perasaan aku. Biarpun filem-filem Afdlin Shauki lebih baik daripada filem-filem Datuk Yusof Haslam dan Prof. Razak, tetapi aku masih kurang gemar. Satu yang boleh dipelajari daripada filem-filem komedi, hasil karya Tan Sri P. Ramlee, ialah komedinya tidak memperlekehkan orang. Bagi aku tiada kelakarnya dengan mengutuk kelemahan atau kekurangan orang lain.

Lagipun, hari ini aku akan pulang ke kampung. Hendak menziarahi ibu bapa aku di samping untuk menghadiri beberapa majlis kelolaan ahli-ahli keluarga. Daripada mesyuarat keluarga untuk membincangkan persiapan majlis perkahwinan pada 6, 13 dan 14 Disember 2008 santak ke majlis berkhatan anak-anak buah. Insya-Allah, kalau sempat hendak ke majlis perkahwinan yang dilangsungkan oleh Zul dan Malisa untuk adik perempuan mereka.

Selain itu, aku juga kena sediakan cenderahati untuk anak-anak buah dan adik-adik sepupu yang mendapat kejayaan cemerlang dalam UPSR, yang baru saja diumumkan semalam. Kementerian Pelajaran mendakwa dasar mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik TIDAK GAGAL, biarpun keputusan subjek Matematik merosot. Namun, keputusan subjek Bahasa Melayu, English dan Sains menunjukkan peningkatan.

Semalam aku ada baca artikel tentang Tan Sri Gabenor. Makin ramai yang mengiktiraf dasar dan pelaksanaan pengawalan dan penyeliaan yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia dalam memastikan kestabilan sektor kewangan dan kemapanan ekonomi Malaysia. Alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Gabenor dan seluruh warga bank pusat.

Thursday 13 November 2008

Dugaan & Kesukarelaan

Aku sekeluarga diuji lagi dengan satu dugaan yang agak menyedihkan. Moga Allah memudahkan kami berdepan dengan dugaan ini dan janganlah diletakkan kami dalam golongan orang-orang yang kufur ke atas nikmat-Nya. Aamin.

Bercakap tentang nikmat-Nya, syukur banyak-banyak ke hadrat Ilahi kerana tidak putus-putus dilimpah-Nya rahmat ke atas aku, keluarga tercinta dan sahabat handai. Jadi, apabila datang tawaran daripada Uji untuk aku mengepalai usaha-usaha meningkatkan kesedaran tentang kesukarelaan, tanpa berlengah aku terus bersetuju.

Aku sedar tanggungjawabnya besar, oleh itu aku akan cuba sedaya upaya melaksanakannya dengan sehabis baik. Dan ini adalah peluang keemasan untuk memulangkan, biarpun sekumit, "pinjaman-pinjaman" daripada Yang Esa kepada orang-orang sekeliling kita. Insya-Allah...

Antara yang dirancang, termasuk temubual dengan kakitangan yang aktif dalam kerja-kerja amal dan artikel tentang rumah-rumah kebajikan serta idea-idea berkaitan dengan kesukarelaan.

Alhamdulillah, pasukan ini disertai oleh staf yang dedikasi dan komited. Jadi, doakanlah kejayaan kami, ya.

Sebelum aku terlupa, 5 Disember ini adalah International Volunteer Day. Marilah kita sama-sama beramal jariah dan mencari keredhaan Allah taala.

Bak kata Ustaz "dalam" HOT.fm, "...selamat beramal!"


p/s: Kalau mampu bayarlah. Kalau tidak mampu, insya-Allah, aku halalkan.

Tuesday 11 November 2008

Caruman oh caruman!

Beberapa orang kawan aku mengomel tentang isu potongan KSWP daripada 11% kepada 8%. Isu yang sama juga muncul di akhbar-akhbar, menyuarakan bantahan kesatuan-kesatuan pekerja serta orang ramai tentang jalan mudah yang diambil oleh KWSP.

TPM mengumumkan di dalam Parlimen baru-baru ini bahawa potongan caruman sebanyak 3% itu bukannya MANDATORI. Satu Malaysia mendengarnya ataupun membaca tentangnya. Kecuali TPM salah baca teks yang telah disediakan oleh Kementerian Kewangan itu. Namun, aku tak rasa TPM salah baca, lebih-lebih lagi ini adalah ucapan penggulungan belanjawan sulung beliau. Seperti kita semua, tentunya apa-apa sahaja yang pertama kali kita lakukan, insya-Allah, akan dilaksanakan dengan penuh iltizam dan kesungguhan.

Aku lebih condong kepada pendapat bahawa KWSP mengambil jalan mudah. Pengalaman berurusan dengan KSWP sebelum ini dan juga beberapa organisasi awam yang tidak cekap seperti PTPTN, tidak bisa memutihkan lagi persepsi aku terhadap KSWP dan PTPTN.

Aku faham betul ada sesetengah orang yang lebih GEMAR menyimpan di kala kesempitan, untuk bekalan di hari muka. Bagi yang perlukan duit lebih di ketika ketegangan hidup dewasa ini, secara logiknya merekalah yang perlu memecahkan(dengan mengisi borang) ruyung untuk mendapatkan sagunya.

Ataupun, suntikan dua tiga bilion ringgit ke dalam pasaran domestik adalah penting untuk turut sama merancakkan ekonomi negara ketika duni di ambang kemelesetan ekonomi. Sekiranya ini benar, Kerajaan tidak perlu untuk berselindung. Atas semangat cintakan Malaysia, rakyat juga perlu bergandingan dalam memperkasakan pembangunan negara. Dalam hal ini, meransangkan pertumbuhan ekonomi domestik dengan kuasa beli mereka.

Jadi, apa akar persoalan ini? Salah bacakah? KSWP ingin mengambil jalan mudah ataupun ekonomi kita perlukan kecairan tambahan?

Sunday 9 November 2008

pusat tayar dan bateri MUTIARA



Usah pening kepala memikirkan tajuk post hari ini, sebab itu adalah salah satu jawapan kepada soalan-soalan Top Gear Treasure Hunt 2008. Acara sulung kelolaan majalah Top Gear, yang mengkehendaki kami berkelana dari USJ 1, Subang Jaya ke Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Kurang lebih tiga tahun aku tidak masuk sebarang treasure hunt competition dengan Saiful, Sharifah Rohana dan Faizal. Dan kali terakhir pun, iaitu pada tahun 2005, juga daripada Lembah Klang ke Pulau Pinang.

Kali ini, kami menginap di Paradise Sandy Beach Resort, bukannya Equatorial Hotel seperti dua pertandingan sebelum ini.

Dan kali ini juga, buat julung-julung kalinya, kami menang. Menurut Faizal, ini merupakan kemenangan sulung mereka bertiga. Bagi aku, ini kemenangan kedua untuk treasure hunt anjuran luar. Alhamdulillah.

Biarpun sepanjang hari semalam, kami berdepan dengan pelbagai dugaan. Aku dan Saiful yang diserang kantuk yang amat sangat. Kak Anna dan Faizal pun tidak se"hyper" sebelum-sebelum ini. Tapi, kami semua percaya, kalau sudah rezeki, tak ke mana!

Sekali syukur buat Ilahi...

Sekarang ini, aku sedang melayari internet menggunakan laptop Saiful, sambil menghirup udara laut yang sepoi-sepoi bahasa.

Lawatan ke Pulau Pinang kali ini lebih merehatkan. Dan aku akui, Pulau Pinang tidak sekotor tiga tahun dahulu. Tahniah, orang-orang Penang!


p/s: Insya-Allah, akan ke Kota Bahru bulan Disember ini. Mari kita saksikan sama ada negeri Kelantan sudah bersih ataupun masih lagi kotor.

Thursday 6 November 2008

Usik Mengusik Atas Jalanraya

Sebelum aku terus menulis, biar aku maklumkan bahawa aku bukannya seorang pemandu yang berhemat. Tapi kerana nakal, aku mengusik beberapa pemandu, yang juga bukan pemandu-pemandu yang berhemat di lampu isyarat, di persimpangan antara Jalan Parlimen dan Jalan Raja Laut.

Setiap pagi, laluan daripada Jalan Parlimen ke Jalan Tun Perak akan ditutup. Untuk melalui Jalan Tun Perak, pemandu perlu memasuki Jalan Raja Laut, sebelum membuat pusingan U ke Jalan Tunku Abdul Rahman.

Bagi segelintir pemandu yang degil, mereka akan membuat pusingan U di lampu isyarat, di persimpangan antara Jalan Parlimen dan Jalan Raja Laut. Ini sudah tentu menyulitkan pejalan kaki seperti aku yang ingin melintas.

Pagi ini, aku keluarkan telefon kamera aku dan pura-pura mengambil gambar pesalah-pesalah lalu lintas ini.

Pesalah pertama, seorang kakak yang tampak manis dengan tudung hijau pucuk pisang. Dia memandang tepat ke arah aku dengan mulut yang melopong! (Smile... you're in candid camera! hehehe)

Pesalah kedua, seorang amoi yang berambut lurus panjang. Dia menjeling aku dan segera menarik muncung. (Sungguh buruk perangai!)

Pesalah ketiga, seorang pakcik yang aku rasa berasal daripada utara Malaysia, sebab dia menuturkan, "Hang ni menyibuk je!" (Penyibuk dikatanya aku! hehehe)

Teringat aku kepada Busu dan adik perempuan aku. Bila agaknya mereka berdua akan memandu kereta. Asyik perbaharui lesen, tapi bawanya, tiada. Be brave, sayang...


p/s: Have a pleasant vacation, Ril!

Tuesday 4 November 2008

Antara Takziah dan Menangis.

Beberapa hari ini, aku terima beberapa berita kematian.

Pertamanya, takziah buat Kak Liza K dan keluarga di atas pemergian ayahanda tercinta. Begitu juga dengan Adrina, yang pernah sama-sama bekerja untuk beberapa projek tidak lama dulu, yang turut kehilangan ayahanda tersayang pada hujung minggu lalu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Semalam, aku turut diberitahu tentang pemergian Shaiful, bekas teman lelaki salah seorang ahli grup Keji tapi Suci. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Dan moga Kak Liza K, Adrina dan A tabah dengan dugaan ini. I will always be there to be the shoulder for you to cry on.

Bercakap tentang menangis, aku memang jarang menangis. Malah, aku tak ingat bila kali terakhir aku menangis kerana aku betul-betul susah nak menangis. Biasanya aku menangis bila ada kematian ahli keluarga terdekat, berbicara dari hati ke hati dengan Mak dan Abah tersayang, ataupun menonton filem/drama yang mengenengahkan konflik, yang benar-benar konflik, antara ahli keluarga.

Bagi aku, air mata adalah sesuatu yang berharga. Kalau setakat perkara remeh temeh seperti salah faham antara kawan-kawan, bagi aku buang air mata sahaja kalau menangis.

Oh ya... tak silap aku kali terakhir aku menangis ialah tahun lepas apabila aku seorang diri, membaca SMS berikut:

"Salam... nak bgtau Pak Lang Jailani meninggal dunia arini..."

Sehari sebelumnya aku menangis juga ketika menonton konflik antara Nora Walkers dan dua orang anaknya - Kitty dan Justin, dalam Brothers and Sisters.

Betul, sejak itu aku belum lagi menangis.


p/s: Good luck to Barack Obama in today's US Presidential Election.

Monday 3 November 2008

Genting Trailblazer 2008

Penat, penat, penat! Dan kakiku sakit-sakit. Jalan pun semacam saja.

Aku kagum dengan Lara. Dia pantas dan tangkas. Faizal, Salizan, Ija & Rosha pun turut kagum.

Kali ini, pertandingan Genting Trailblazer lebih mencabar dan sukar. Jaraknya 14 kilometer. Aku dan Salizan tergamam seketika bila terdengar pengumuman tersebut pada hari pertandingan. Masing-masing memberikan riak muka seperti mempersoalkan kudrat sendiri, memandang kami tidak pernah memasuki apa-apa pertandingan yang melebihi 10 kilometer.

Walau bagaimanapun, kami semua berjaya menyudahkannya dalam masa yang ditetapkan. Bertambahlah lagi medal dalam simpanan aku.

Faizal... Lara... Ija... Rosha... Salizan... terima kasih daun keladi. Lain kali, ajaklah lagi!


p/s: Genting Highlands makin kurang nyaman. Sedihlah...