Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

Thursday, 27 November 2008

Duit Untuk Budak Hitam

Aku masih ingat lagi wajah budak itu. Wajah itu betul-betul melekat dalam ingatan. Begitu juga lalat-lalat yang bertenggek, mengelilingi kelopak mata dan bibirnya kering. Budak itu dipangku oleh ibunya yang turut lemah kudratnya.

Ketika itu, aku baru berusia 10 tahun.

Sejak daripada hari itu, aku bahagikan wang saku kepada tiga bahagian. 30 sen untuk sepiring mee goreng ataupun nasi goreng dan segelas air sirap. 10 sen untuk disimpan dalam tabung gajah yang aku dapat ketika bertikam di funfair di Bandar Melaka dan 10 sen lagi untuk disimpan dalam kendi.

Kalau tak silap ingatan aku, ketika penghujung tahun, aku berjaya menyimpan kurang 30 sen, RM8. Aku terus mendapatkan Mak.

"Along nak bagi kepada budak hitam tu, Mak. Kasihan dia, tak ada makanan, tak ada pakaian."
"Budak hitam mana?", tanya Mak bersungguh-sungguh.

"Yang dalam TV hari tu," jawab aku sambil menunjukkan TV warna yang baru dibeli oleh Abah awal tahun 1987. Itu pun setelah didesak oleh aku dan Mira, selepas menonton Juara Muzik-Muzik 1986 di rumah jiran.

Satu petang di awalan bulan Disember, Mak mengajak aku dan Mira ke Kampung Jawa. Hendak beli baju dan kasut sekolah baru. Mak suruh aku bawa sekali duit untuk budak hitam.

"Kita nak pergi rumah budak hitam tu ke, Mak? Dia tinggal di Melaka ni ke?"

Mak cuma mendiamkan diri. Sampai sahaja di Stesen Bas Bandar Melaka, kami pun menaiki beca ke Kampung Jawa. Aku dan Mira gembira sakan kerana masing-masing dapat dua pasang pakaian sekolah dan sepasung kasut baru. Dan juga beg sekolah dan botol air baru.
Untuk perjalanan pulang, Mak membawa aku dan Mira berjalan kaki.

"Apa kata Along sedekah duit tu kepada Atok tu?" ujar Mak sewaktu kami menaiki Jambatan Hang Tuah, 400 meter daripada stesen bas.

"Tapi duit ni untuk budak hitam, Mak!"

"Budak hitam tu tinggal jauh di benua Afrika. Macam mana Along nak pergi dan bagi? Kena naik kapal terbang baru boleh sampai."

Aku menarik muka.

"Okey lah, Along simpan saja duit tu. Lepas ni simpan pula duit untuk beli tiket kapal terbang," ujar Mak sambil menarik tangan sebagai signal untuk meneruskan perjalanan. Ketika melewati lelaki tua itu, aku sempat menangkap wajah sedihnya. Apabila terpandang sahaja kaki kirinya yang kudung, aku cepat-cepat mengalihkan pandangan. Dan aku mempercepatkan langkahku.

"Kalau Along kena kejar penjahat ke, anjing ke, Along boleh lari menyelamatkan diri kan? Along rasa Atok tu boleh lari tak?" tutur Mak sejurus kami menuruni jambatan tersebut.

"Duit ni Along simpan untuk budak hitam, Mak."

Mak cuma mengangguk. Mira mengejekku bila aku memandangnya. Beberapa langkah kemudian, aku menarik-narik tangan Mak.

"Mak tunggu ya. Along nak beri duit ni kepada Atok tu. Mak tunggu tau," ujarku sebelum berlari mendapatkan lelaki tua itu.

Nanti aku simpan lagi untuk kau ya, budak hitam. Nanti aku simpan lagi, getusku dalam hati.


Note: This post was first published on BNM Volunteers Community Blog.

Monday, 17 November 2008

Ole-ole dari kampung

Dalam perjalanan ke Nilai pagi semalam, tiba-tiba Mak bercerita tentang tingkah laku kami adik beradik. Majlis khatan dan khatam Quran itu sepatutnya dilangsungkan pada hari Sabtu, tetapi terpaksa ditangguhkan sebab ada hal keluarga. Tergendala juga hasrat aku untuk ke Bandar Baru Bangi bagi menghadiri satu jemputan majlis perkahwinan adik kepada rakan sepejabat aku.

Mak mengimbau kenangan aku kepada episod "kehilangan" aku di Melaka Shopping Centre, pusat membeli belah yang terbesar di Melaka sekitar tahun 70an dan awal 80an. Kemudiannya diambil alih oleh The Store, sebelum tutup kedai ekoran perpindahan stesen bas negeri ke Melaka Sentral.

"Nakal Along lain daripada nakal si Fizul ataupun si Lan," ujar Mak, sambil disambut senyuman-senyuman nakal daripada Mira dan Lia. Abah cuma diam mendengar.

"Dia lari ke sana, lari ke sini, suruh kita cari. Akhirnya dia sergah kita!"

"Macam tu, lain ke Mak?" soal Lia, seolah-olah mencucuk Mak agar terus cerita lagi.

"Kalau si Fizul ataupun si Lan nak sesuatu benda tu, dia akan menangis sehingga dapat benda tu. Along kau tidak, dia pandang saja benda tu. Membatu, membisu. Kalau Mak cakap, kita beli lain kali saja, dia menurut. Tak macam si Fizul, lagi kuat dia merengek!"

Mira yang ketawa paling kuat!

"Kau ingat lagi, Long?"

"Ingat, Mak. Along menangis sebab tak dapat jumpa Mak. Kemudian ada seorang kakak ni, bawa Along pergi ke 'jaga', dan terus dia bawa ke pejabat".

Ya, aku masih lagi ingat episod itu. Melekat kukuh di ingatan ini. Dan aku juga ingat bait-bait pengumumannya.

"Kepada ibu bapa yang kehilangan seorang kanak-kanak lelaki, berbangsa Melayu, sila ke pejabat pengurusan di Tingkat 3. Terima kasih!"

Mak cuma tersenyum. Sekali lagi, Mira dan Lia menguntumkan senyuman-senyuman nakal. Abah? Hanyut di dalam dunianya, aku rasa.


p/s: Congratulations, Tan Sri Dato' Sri Dr Zeti Akhtar Aziz and Dr. Jomo Kwame Sundaram on their appointment to a UN high-level task force to examine global financial reform.