Friday 14 November 2008

Balik Kampung

Kalau ikutkan perancangan awal, aku sepatutnya ke majlis pra-tonton filem Los Dan Faun, karya terbaru Afdlin Shauki di Cathay Cineleisure Damansara. Acara tersebut dijadualkan hari ini, jam 15.00.

Tetapi macam malas pula nak pergi, sebabnya (1) aku bukannya penggemar filem-filem Afdlin Shauki, dan (2) rasa jauh pula hendak ke Damansara Mutiara. Nanti, sudah memandu jauh-jauh (tak ambil kira tentang kecenderungan aku untuk sesat, lebih-lebih lagi kawasan-kawasan yang aku tidak familiar!), tup tap, filemnya mendukacitakan perasaan aku. Biarpun filem-filem Afdlin Shauki lebih baik daripada filem-filem Datuk Yusof Haslam dan Prof. Razak, tetapi aku masih kurang gemar. Satu yang boleh dipelajari daripada filem-filem komedi, hasil karya Tan Sri P. Ramlee, ialah komedinya tidak memperlekehkan orang. Bagi aku tiada kelakarnya dengan mengutuk kelemahan atau kekurangan orang lain.

Lagipun, hari ini aku akan pulang ke kampung. Hendak menziarahi ibu bapa aku di samping untuk menghadiri beberapa majlis kelolaan ahli-ahli keluarga. Daripada mesyuarat keluarga untuk membincangkan persiapan majlis perkahwinan pada 6, 13 dan 14 Disember 2008 santak ke majlis berkhatan anak-anak buah. Insya-Allah, kalau sempat hendak ke majlis perkahwinan yang dilangsungkan oleh Zul dan Malisa untuk adik perempuan mereka.

Selain itu, aku juga kena sediakan cenderahati untuk anak-anak buah dan adik-adik sepupu yang mendapat kejayaan cemerlang dalam UPSR, yang baru saja diumumkan semalam. Kementerian Pelajaran mendakwa dasar mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik TIDAK GAGAL, biarpun keputusan subjek Matematik merosot. Namun, keputusan subjek Bahasa Melayu, English dan Sains menunjukkan peningkatan.

Semalam aku ada baca artikel tentang Tan Sri Gabenor. Makin ramai yang mengiktiraf dasar dan pelaksanaan pengawalan dan penyeliaan yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia dalam memastikan kestabilan sektor kewangan dan kemapanan ekonomi Malaysia. Alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Gabenor dan seluruh warga bank pusat.

2 comments:

Mus The Great said...

have a safe and 'segar' journey dude!

ukanera arenaku said...

thanks, mus.