Wednesday 16 January 2013

Ulang Terbit: Jogho - dua perjuangan yang berbeza

Jogho

Tahun : 1999
Pengarah : U-Wei Saari
Lakon Layar : U-Wei Saari
Pelakon : Khalid Salleh, Normah Damanhuri, Wan Hanafi Su, Sabri Yunus, Baharuddin Hj. Omar, Adlin Aman Ramli, Juhara Ayob dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : A

Jogho - dua perjuangan yang berbeza

"Gelanggang politik dengan gelanggang lembu tidak jauh bezanya dalam praktik. Lembu itupun sama dengan politik... sama-sama diperjudikan..." (petikan novel Juara, ms. 74) Juara adalah novel S. Othman Kelantan yang mengisahkan perjuangan seorang bekas pejuang politik yang perjuangannya tidak pernah berakhir selepas kariernya berakhir. Yang berpindah hanyalah medan perjuangannya. Bagi Mamat perjuangan di medan politik tidak ada bezanya dengan perjuangan di gelanggang laga lembu. Kedua-duanya menuntut penglibatan, perancanaan, risiko dan korbannya yang tersendiri.

Bila-bila masa boleh kecewa dan kecundang yang menandakan berakhirnya karier. Keselarian perjuangan inilah yang menjadi dasar adaptasi filem Jogho (Juara dalam loghat Kelantan) arahan U-Wei Hj. Shaari.

Montaj pembukaan filem ini memaparkan panorama sawah padi di Selatan Thai yang kelihatan gersang dengan warna yang agak kurang bermaya. Secara perlahan kamera memfokus kepada pengkebumian Abang Lazim (Baharuddin Hj. Omar) dan kemudian dipintas dengan peristiwa penembakan di ban lembu yang menyaksikan Abang Lazim dan Calet (lembu laga kepunyaan Mamat) menjadi korban. Montaj awal ini sahaja sudah cukup untuk mencipta mood dan kemungkinan dramatik yang cukup menarik.

Jogho sepertimana novelnya berpusat kepada manusia pejuang Mamat (yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Khalid Salleh). Sebagai pejuang Mamat telah berjuang di dua gelanggang berbeza dan dia muncul sebagai juara di dua gelanggang tersebut. Di Kelantan, Mamat adalah pejuang politik yang memperjuangkan kemerdekaan dan apabila perjuangan politik tercapai dia dipinggirkan.

Dia kemudian membawa diri bersama keluarga ke Pattani di selatan Thai di mana dia mula rapat dengan Abang Lazim, seorang ahli laga lembu. Di sini Mamat juga mampu menjadi juara laga lembu, gelanggang pertarungan yang penuh kemungkinan dan pancaroba. Kedua-dua medan ini menuntut pengorbanan, disiplin dan kegigihan yang tersendiri. Dengan Jogho, U-Wei sebenarnya meneruskan tema perjuangan manusia yang terpinggir dan menerima tekanan masyarakat sekeliling.

Di dalam Perempuan, Isteri dan ..... menonjolkan wanita yang terpinggir oleh masyarakat telah bangun menentang tekanan masyarakat sekeliling dengan menggunakan kekuatan kewanitaan dan daya seksualnya. Dalam Kaki Bakar (Filem ini terpilih ke Cannes, 1995), U-Wei menonjolkan watak seorang bekas pejuang yang harus berjuang menghadapi tekanan masyarakat sekeliling untuk mempertahankan individualiti dan kelangsungan keluarganya. Dalam pertentangan ini keruntuhan dan kehancuran memang tidak dapat dielakkan. Itulah korbannya.

Jogho sebenarnya bukan persoalan Mamat sahaja, tetapi adalah masyarakat di sekelilingnya yang mempunyai nilai-nilai dan permasalahan yang tersendiri dan kompleks. Di Kelantan, tekanan politiknya berbeza dengan masyarakat yang beragam, manakala di selatan Thai dia dikelilingi oleh masyarakat Melayu Pattani yang sebenarnya menghadapi cabaran budaya, sosial dan politik dalam sebuah negara yang asing. Sungguhpun bagi mereka perbezaan sempadan geografi tidak pernah menjadi garis pemisah pertalian darah dan persaudaraan.

Watak-watak wanita dalam filem Jogho lebih mantap dan menonjol berbanding di dalam novelnya. Milah dengan berani dan tegas mempersoalkan sikap suaminya biarpun akhirnya dia mengalah. Mereka kuat bekerja (lihat adegan yang ironis, Mamat dan rombongannya bergerak ke ban lembu, tetapi Milah dan anak gadisnya terus bekerja), dan bila dicabar mereka sanggup ke gelanggang laga lembu biarpun itu adalah gelanggang hanya untuk lelaki. Watak-watak wanita yang berani dan sanggup bangkit menyuarakan sikap adalah lanjutan watak-watak wanita U-Wei yang dimulakannya dalam Perempuan, Isteri dan ...

Persoalan yang sering dikemukakan apabila sesebuah novel diadaptasi ke filem adalah sejauh mana filem mampu berlaku adil dan setia kepada novel itu.

Persoalan setia menjadi debat yang panjang dan berlarutan. Bagi Tom Stoppard dalam membuat adaptasi dia tidak bertanggungjawab untuk memindahkan suara penulis ke layar. Memindahkan novel ke layar tidak bermakna satu proses mudah merakamkan semula novel ke dalam bentuk lain.

Tanggungjawab penulis lakonlayar dalam kerja adaptasi adalah mencari kesesuaian fokus visual dan pemampatan dan berlaku setia kepada inti novel tersebut. Umberto Eco yang mana novelnya The Name of the Rose diadaptasi menjadi filem lebih berminat melihat filem itu secara beransur-ansur membentuk dirinya sendiri. Sebuah filem dari karya adaptasi seharusnya mampu berdiri sendiri atas kekuatannya sebagai sebuah karya yang tersendiri.

Dalam Jogho apa yang menjadi keutamaan U-Wei adalah mengekal dan mentafsir jiwa dan inti novel yang diadaptasinya. Dia boleh sahaja memilih, memberi keutamaan, membuang atau menyesuaikan semula bahagian-bahagian tertentu novel itu atau watak-wataknya boleh sahaja ditambah, dikurang atau ditukar. Tindakan itu bukan satu kesalahan kerana mustahil sebuah novel mampu seluruhnya dibawa ke layar.

Novel boleh sahaja mempunyai struktur yang berlapis dan kompleks kerana ia adalah cerita yang diceritakan tetapi filem dalam keadaan tertentu perlu memperjelas dan memperkuatkan kelemahan yang ada pada novel itu kerana ia adalah cerita yang dipersembahkan. Babak-babak awal Jogho dibina dengan baik tetapi kelemahan dan kekacauan di babak-babak akhir novel ini diperkuatkan oleh filem ini. Adegan akhir filem ini lebih provokatif. Pesanan Mamat adalah mesej politik yang jelas. Apabila Mamat dibawa pergi, Sani (Adlin) mengikut dari belakang dengan diiringi oleh ahli keluarga yang lain dan kamera kemudian dihala ke langit, membentuk pusingan visual shot pembukaan. Dengan cara itu U-Wei memperlihatkan kesinambungan yang tidak putus dari satu generasi ke satu generasi.

Jogho bukanlah tanpa kelemahan. Beberapa adegan boleh digambarkan dengan lebih baik terutama adegan pertempuran lembu dan adegan pertembungan Mamat dan Isa (Wan Hanafi Su) yang terasa kurang dramatik walhal konflik dan dendam antara mereka telah dibina sedari awal adegan filem ini. Bagaimanapun, Jogho adalah hasil U-Wei yang terbaik dan lebih mantap berbanding karya-karyanya yang terdahulu.

Jogho yang sebahagiannya dibiayai oleh NHK Jepun pertama kali ditayangkan di Festival Filem Asia kedua di Tokyo, 1997.

No comments: