Thursday 10 January 2013

Ulang Terbit: Kisah Seorang Ratu

Sementara menanti minda ini bangkit untuk menukilkan sajak-sajak terbaru, izinkan aku menyiarkan kembali koleksi sajak peribadiku di Aku dan Sajak untuk segmen Ulang Terbit, pada setiap hari Khamis.




Kisah Seorang Ratu

Subuh-subuh lagi 
sudah bangkit 
siapkan sarapan 
sempurnakan perjalanan 
         Lakinya ke tempat rezeki 
         Anak-anaknya ke gedung ilmu 
sebelum membangunkan negeri kecil.   
  
Tika mentari condong ke barat 
tegaklah dia di muka pinta 
tunggu buah hati pulang 
tiap-tiap isnin santak jumaat 
tanpa mengeluh 
tidak pun pernah kosong meja.   

Bila senja mengetuk pintu 
baliklah si jantung hati 
bawa pulang riuh 
bersama wajah yang keruh. 

Makan malam mesti istimewa 
mengisi perut-perut yang berat tulang 
menyuap mulut-mulut yang rajin memerintah 
menambah kedut di wajah.     

Habis memasak 
hadap pula kain baju nan membukit 
hingga digamit-gamit 
hasrat laki di penghujung hari.  


Hasmi Haron 
Kuala Lumpur, MALAYSIA 
11 September 2001


Nota Kaki:

  1. Sajak ini diilhamkan oleh suka duka salah seorang mak saudara penulis tetapi telah ditokok tambah.
  2. Karya ini mengangkat subjek yang begitu digemari penulis iaitu ibu dan keibuan.

No comments: