Tuesday 24 February 2009

Dabong Trip 2009

Dabong? Dabong what?

Hujung minggu lepas aku dan beberapa orang rakan telah ke Dabong Kelantan. Kami ke sana dengan menaiki Eskpres Wau. Oleh sebab tidak berapa percaya akan kepatuhan masa oleh KTM, seorang rakan kami, hampir-hampir tertinggal keretapi. Adegan kejar mengejar tamat apabila dia berjaya menaiki tren di stesen keretapi Seremban.

Kami tiba di Dabong, iaitu satu stesen selepas stesen Gua Musang kurang lebih jam 7.45 pagi. Dabong adalah satu pekan kecil yang tenang dan agak usang. Stesen keretapi itu boleh dikira sebagai pusat pekan Dabong.

Tujuan kami ke situ adalah untuk meninjau-ninjau Gunung Stong State Park. Ini kerana kami berhajat untuk mengadakan satu ekspedisi untuk rakan-rakan sekerja.

Sesudah sarapan pagi, kami dibawa oleh Pok Nik dan Ja (juru pandu arah terlatih) ke Gua Ikan. Di sana, kami meneroka keindahan ciptaan Ilahi dalam Gua Gelap, Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan. Malang sekali, vandalisme telah mengotori Gua Ikan!

Kemudian kami ke pusat pekan Dabong semula untuk menikmati makanan tengahari.

Sebelah petangnya, stamina kami diuji sedikit dengan mendaki kaki Gunung Stong untuk ke Air Terjun Jelawang. Ini adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Menurut Ja dan Pok Nik, ia setinggi 450 meter.

Kami padamkan kepenatan dan keletihan dengan bermandi manda, dengan kedinginan air terjun Jelawang ataupun juga dikenali sebagai air terjun Stong.

Kurang lebih jam 5.30 petang, kami bergerak pulang ke rumah rehat Pok Nik. Pok Nik adalah pegawai WWF yang telah melepaskan kerjaya sebagai banker dengan salah sebuah institusi kewangan luar negara bagi menumpukan seluruh tenaga untuk memantau dan merangka strategi menjaga dan memulihara khazanah alam di Dabong ini.

Selepas makan malam, kami terus bergerak ke stesen Dabong untuk menaiki keretapi, pulang ke Kuala Lumpur.

Secara amnya, Dabong adalah satu produk eko pelancongan yang berpotensi tinggi. Namun, pihak berkuasa perlu belajar daripada their counterparts in Sarawak, dalam hal-hal mengurus produk eko pelancongan yang berkesan dan cekap.


Note: Picture no. 2 is contributed by Lat and Pictures no. 3, 13, 14 and 21 are belonged to Jocko.

p/s: Aku lebih menyukai filem The Curious Case of Benjamin Button daripada Slumdog Millionaire kerana plot ceritanya yang kemas, produksinya gah, sinematografinya yang indah, arahannya yang berkesan, betul-betul seimbang dengan lakonan yang berkesan daripada para pelakonnya.

Thursday 12 February 2009

Hari-hari terakhir seorang LO

I can't wait to return to my office tomorrow!

Why? I'm tired and I'm sooo exhausted! Both physically and mentally.

Kurang lebih seminggu aku diberi tugas sebagai liaison officer kepada salah satu tetamu negara. Kali ini, tugasan tersebut adalah lebih mencabar kerana personaliti yang aku "jaga" melampau sempoinya.

"Relax. Don't worry too much. Need not to hurry", tuturnya setiap kali dia lambat ke sesatu acara.

"Kau betul-betul penyabar orangnya!"

Pujuk beberapa liaison officers setiap kali kami sempat bernafas dengan selesa di celah-celah acara yang dihadiri pelbagai pembesar dari segenap ceruk dunia. Sempat juga kami bertukar-tukar pandangan tentang ragam dan kelakuan tetamu yang kami jaga. Ada yang cerewet, ada yang rumit, ada yang santai, ada yang diam membatu, ada yang tersengih sahaja.


Di samping itu, kami juga dapat belajar seperkara dua tentang ekonomi dunia. Sekurang-kurangnya itu yang aku dapati daripada tugasan ini. Aku belajar mengenal tentang inflation targetting tool yang diguna pakai oleh sebilangan negara, dan juga baik buruknya sehingga ia dikritik hebat oleh Professor Stigliz.

Aku juga belajar tentang pandangan yang memandang serong kepada keghairahan beberapa negara yang membina bangunan-bangunan pencakar langit, yang dianggap tidak kos effektif pada saat dan ketika ini. Biarpun aku kurang yakin akan hujah mereka, tetapi pandangan tersebut wajar dihormati.

"Kau ke yang jaga tuuuuuuut?" tanya bos aku, semasa kami berselisihan dua hari sudah. Aku mengangguk sambil menguntumkan senyuman kecil. Bos aku cuma tergelak kecil sebelum menasihat aku agar banyak-banyak bersabar. Nasihat yang serupa juga aku terima daripada beberapa Pengarah yang lain.

Ini membuatkan aku tertanya-tanya, does everyone know in the bank know about this???

Bagi aku setiap pengalaman yang aku kutip adalah sangat bermakna. Harap-harap ianya akan mematangkan diri ini in my pursuit of betterment. Dan aku berdoa agar Tuhan akan menjadikan aku seorang hambanya yang merendah diri dan tidak mendatangkan kerumitan kepada orang lain.

Aku rasa statement of the year 2009 ialah "I want my car. I do not want my LO!"

Oh, I can't wait to finish the final day of my LO job today. What an experience!


p/s: I was a bit pissed off yesterday with the poor service at the check-in counter of the Singapore Airlines!

Sunday 8 February 2009

Puteri Gunung Ledang The Musical

Majikan aku menghadiahkan para pekerjanya tiket-tiket untuk persembahan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) Musin ke-3. Dan aku telah memilih untuk menonton persembahan mereka pertama.

Biarpun ramai yang cuba pengaruhi aku agar tidak pergi ke persembahan malam pertama kerana (1) mungkin para pelakon agak gugup ataupun (2) ketidaklancaran sistem, baik audio, lampu, PA dan sebagainya; namun semua itu aku tolak ke tepi. Aku lebih teruja untuk saksikan keVIRGINan mereka. Kalau silap, silaplah. Kalau bagus, alhamdulillah.

Aku tiba ke Istana Budaya kurang lebih jam 7.30 malam. Kawasan letak kereta di perkarangan Istana Budaya sudah penuh, jadi aku parkir kereta aku di perkarangan Balai Seni Lukis Negara. Dalam perjalanan masuk, aku terserempak dengan Adlin Rahman Ramlie yang sedang membunuh masa dengan menghisap rokok.

Persembahan yang sepatutnya bermula jam 8.30 malam seperti yang tertera di atas tiket, bermula kira-kira jam 9.00 malam.

Biarpun sudah tonton persembahan yang sama di musim pertama, aku tetap siapkan diri agar rasa debar dan teruja bisa ada.

Secara umumnya, PGL III tiada rombakan besar terhadap jalan ceritanya. Masih serupa. Cuma apa yang aku perasan, beberapa babak telah diperhalusi bagi menjelaskan lagi pemikiran dan falsafah Puteri Majapahit tersebut terhadap manusia, kehidupan dan cinta. Dan kali ini, rentetan percintaan Puteri Jawa dan Laksamana Melaka juga ditekankan untuk membina aura sebuah percintaan yang agung.

Sayang sekali, ucapan dialog dan gerak tubuh Hang Tuah yang kurang keMELAYUan, merencatkan keberahian cinta yang ingin dibina. Selain pengucapan Stephen Rahman-Hughes yang kurang penghayatan, gerak tubuh beliau terlampau "West End" (baca: fleksibel atau melentur). Lantas keJANTANan lelaki MELAYU tidak timbul. Mungkin beliau boleh memerhatikan bahasa tubuh Adlin Rahman Ramlie, biar menari seligat mana pun, "kekakuan lelaki MELAYU"nya tidak hilang.

Selain itu, lakonan para pelakon yang lain agak memberangsangkan terutamanya watak Sultan Mahmud.

Memandangkan ini adalah teater muzikal, tidak boleh tidak aspek nyanyian perlu diulas.

Di sinilah terserlah kekurangan vokal Tiara Jacquelina. Biarpun nyanyian beliau penuh emosi, namun jurang di antara nyanyian beliau dan nyanyian Stephen Rahman-Hughes, sedikit sebanyak mengurangkan "chemistry" di antara mereka berdua.

Di sinilah terserlah kredibiliti Hang Tuah, terutama nyanyian monolognya yang berkongsi dengan para penonton dilema yang dihadapi untuk meminang kekasih hati buat Sultan yang sangat ditaati.

Untuk sekian kali, teater terbitan Enfiniti Production memukau para penonton dengan kesan khas bunyi dan visual yang berkesan dan baik. Produksi ini digahkan lagi dengan rekaan set dan props yang tinggi standardnya oleh Raja Malek. Begitu juga seni tari yang dipersembahan, agak menarik dan kontemporari.

Cuma susunan muzik lagu-lagunya kurang tempo keMELAYUan. Mungkin bisa diperbaiki untuk musim akan datang.

Apa-apa pun, PGL III masih lagi satu produksi tempatan yang boleh dibanggakan biarpun boleh dipertingkat mutunya, terutama aspek lakonan Hang Tuah, nyanyian Putri Gusti dan susunan muzik lagu-lagunya.

Satu lagi, penceritaannya boleh diperketatkan agar para penonton boleh menangkap keagungan cinta lagenda ini. Semestinya adalah satu pengorbanan yang besar untuk seorang Puteri Hindu, meninggalkan segala-galanya untuk mendamba cinta seorang hulubalang terbilang yang memang mencintainya setulus hati. Tetapi cintanya itu kalah kepada kesetiaan kekasihnya kepada Sultannya.


Rating: B


Note: Pictures are courtesy of Eijal.

Thursday 5 February 2009

Sifu & Tongga: Satu pengembaraan yang merisau


Pertamanya, terima kasih daun keladi kepada Grand Brilliance dan Tipah Vogue di atas jemputan ke pra-tonton filem terbaru (kalau tak silap filem ke-26) arahan Prof. Madya A. Razak Mohaiden.

Sebelum tayangan bermula, A. Razak Mohaiden menyimpulkan bahawa filem Sifu & Tongga adalah ubat kepada mereka yang susah hati. Beliau juga mengaku yang filem ini adalah filem pertama dalam genre satira pengembaraan. Hmmm...

Sebenarnya, ini adalah pertama kali aku menonton filem yang dibikin oleh A. Razak Mohaiden. Mungkin ada dua tiga filem beliau yang aku terpandang di kaca TV semasa menziarahi kaum keluarga ketika di hari lebaran ataupun ketika dalam feri mahupun bas ekspres, namun ini adalah pertama kali aku menonton filem beliau (1) di layar perak dan (2) dari mula santak habis.

A. Razak Mohaiden juga mengingatkan para penonton yang hadir bahawa filem terbaru beliau ini, sarat dengan kritikan-kritikan sosial. Hmmm...

Sifu & Tongga berkisarkan pengembaraan dua sahabat (ataupun adik dan abang angkat?) ke dunia luar daripada hutan belantara, mencari Mila, anak gadis Chief (ketua semasa kepada sekumpulan orang Melayu yang lari ke dalam hutan tika Malaya dijajah Jepun) yang dilarikan oleh Editor akhbar tabloid sensasi dan konco-konconya.

Menarik tak, jalan ceritanya?

Bagi aku, A. Razak Mohaiden terkeliru di antara tata hidup orang yang terputus daripada dunia luar dan tata hidup orang-orang primitif. Malah, pada satu peringkat, aku merasakan filem Sifu & Tongga seolah-olah menghina tahap intelektual orang-orang di zaman 40an yang lari mencari perlindungan di hutan. Santak, kereta dikatakan binatang yang mempunyai 4 kaki bulat! Bukankah pada zaman itu sudah ada kereta di Tanah Melayu. Sudah tentu ilmu tentang dunia luar akan diperturunkan oleh generasi tua kepada generasi muda sama ada dalam bentuk lisan mahupun bertulis.

Satu lagi yang memeningkan kepala aku, mengapa Tammy (lakonan Erra Fazira) beria-ia menyuruh Azad menyelidiki tentang asal usul Mila sedangkan dia bersama-sama konco-konconya terbang ke dalam hutan belantara dan menculik Mila. Sekiranya Tammy tidak tahu menahu tentang Mila dan "kaum"nya, bagaimana dia dan konco-konconya boleh terbang dengan helikopter ke lokasi yang tepat?

Dan aku rasa sangat tidak logik, untuk seorang Editor akhbar tabloid dalam abad ke-21 ini, membawa masuk seorang manusia lain yang dikurungnya dalam sangkar ke dalam studio TV!

Selain itu, Sifu & Tongga juga gagal menampilkan mutu komedi dan lakonan yang membanggakan. Paduan Saiful Apek dan Nabil gagal menghadirkan gelak yang ampuh dan berterusan. Ini mungkin disebabkan skrip dan lakon layar yang lemah, longgar dan tidak masuk akal. Begitu juga lakonan Fouziah Ghous dan Erra Fazira yang tampak tidak natural.

Di akhir tayangan, aku masih lagi mencari-cari kritikan sosial yang dicanang-canangkan. Apakah filem ini cuba menelanjangi kebobrokan kewartawanan di Malaysia? Ataupun, sifat-sifat tidak berperikemanusiaan kita terhadap golongan minoriti, baik rakyat Malaysia sendiri mahupun pendatang asing?

A. Razak Mohaiden gagal memanfaatkan premis ceritanya. Alangkah cantiknya seandainya pertembungan budaya di antara sekumpulan kecil orang Melayu yang terputus dengan dunia luar selama enam dekad dan majoriti penduduk Malaysia dikembangkan dengan sebaik mungkin. Sudah tentunya kumpulan ini yang lahir ke dalam hutan dengan nilai-nilai keMelayuan pada 40-an. Bagaimana mereka mendepani nilai-nilai keMelayuan di abad ke-21 ini!

Sebaliknya, kita dibobrokkan dengan kebodohan ataupun lurus bendul Sifu dan Tongga yang dibuat-buat dan klise.

Kalau ada yang baru pun, para penonton dapat menyaksikan Azwan Ali menjadi mak nyah di layar perak! Kalau anda rasa berbaloi, pergilah menonton Sifu & Tongga di pawagam yang berdekatan.


Rating: C-

Tuesday 3 February 2009

Bukit Tabuh Lagi!

Aku panjat Bukit Tabuh lagi dengan Fezal, Ija Salleh dan Salizan. Kali ini, Ija Salleh dan Fezal bawa member baru. Zambri namanya. Welcome on board, Zambri!

Pertamanya, aku minta maaf banyak-banyak sebab terlambat sampai. Sebelum keluar rumah, perut aku tiba-tiba memulas dan aku terpaksa menunaikan hajat. Dalam kekalutan untuk segera sampai, aku tersalah ambil susur keluar. Kerana itu, pendakian yang dijadualkan pada 7.45 telah terlewat kurang lebih 15 minit. Sekali lagi, berbanyak-banyak maaf.

Alhamdulillah, aku kurang pancit di awal pendakian. Cuma ketika di hentian pertama, aku sedikit emosi apabila terlihat bukit berdekatan yang semakin gondol, diratakan untuk dijadikan kawasan perumahan mewah.

Pelik! Bukankah kerajaan, baik kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri sudah membekukan projek-projek di kawasan tanah tinggi?

Seingat aku, ketika aku mula-mula memanjat Bukit Tabuh ini, persekitaran sangat hijau dan sejuk mata memandang. Cuma sana sini, terdapat tompok-tompok coklat. Tapi kini, bukan setakat tompok, sudah seluas mata memandang! Sedih betul!!!

Di sepanjang pendakian, kami temui beberapa pengingatan yang digantung oleh pendaki-pendaki yang prihatin, agar para pendaki mengutamakan keselamatan. Keratan berita tentang dua kemalangan yang menimpa kepada dua orang pendaki perempuan turut ditayang untuk timbulkan kesedaran.

Biarpun ada berita-berita kurang enak, namun bukit ini masih dikunjungi orang ramai terutamanya di hujung minggu. Mana tidaknya, mendaki Bukit Tabuh adalah satu aktiviti luar yang selesa dan mudah. Sekiranya ia didaki dengan santai, kurang lebih dua jam kita akan di puncaknya. Biasanya aku dan kawan-kawan ada bersarapan di puncak, sebelum menuruninya melalui kawasan dusun orang kampung. Insya-Allah, paling lewat pun jam 12 tengahari kita sudah pun singgah ke kedai mamak yang berdekatan untuk menikmati segelas dua milo ais.

Apa yang penting ialah kita berhati-hati, jangan besar diri dan hayati keindahan alam dengan tenang.


Janganlah berita kemalangan di Bukit Tabuh serta gambar ular daun ini menipiskan hasrat kawan-kawan yang ingin menatap keindahan Kuala Lumpur dari puncak Bukit Tabuh. Ajal maut di tangan Allah. Seandainya kita berhati-hati dan tidak TAKBUR, insya-Allah, keindahan ciptaan Allah ini dapat kita nikmati dengan selamat.

Jom... ada berani?