Sunday 8 February 2009

Puteri Gunung Ledang The Musical

Majikan aku menghadiahkan para pekerjanya tiket-tiket untuk persembahan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) Musin ke-3. Dan aku telah memilih untuk menonton persembahan mereka pertama.

Biarpun ramai yang cuba pengaruhi aku agar tidak pergi ke persembahan malam pertama kerana (1) mungkin para pelakon agak gugup ataupun (2) ketidaklancaran sistem, baik audio, lampu, PA dan sebagainya; namun semua itu aku tolak ke tepi. Aku lebih teruja untuk saksikan keVIRGINan mereka. Kalau silap, silaplah. Kalau bagus, alhamdulillah.

Aku tiba ke Istana Budaya kurang lebih jam 7.30 malam. Kawasan letak kereta di perkarangan Istana Budaya sudah penuh, jadi aku parkir kereta aku di perkarangan Balai Seni Lukis Negara. Dalam perjalanan masuk, aku terserempak dengan Adlin Rahman Ramlie yang sedang membunuh masa dengan menghisap rokok.

Persembahan yang sepatutnya bermula jam 8.30 malam seperti yang tertera di atas tiket, bermula kira-kira jam 9.00 malam.

Biarpun sudah tonton persembahan yang sama di musim pertama, aku tetap siapkan diri agar rasa debar dan teruja bisa ada.

Secara umumnya, PGL III tiada rombakan besar terhadap jalan ceritanya. Masih serupa. Cuma apa yang aku perasan, beberapa babak telah diperhalusi bagi menjelaskan lagi pemikiran dan falsafah Puteri Majapahit tersebut terhadap manusia, kehidupan dan cinta. Dan kali ini, rentetan percintaan Puteri Jawa dan Laksamana Melaka juga ditekankan untuk membina aura sebuah percintaan yang agung.

Sayang sekali, ucapan dialog dan gerak tubuh Hang Tuah yang kurang keMELAYUan, merencatkan keberahian cinta yang ingin dibina. Selain pengucapan Stephen Rahman-Hughes yang kurang penghayatan, gerak tubuh beliau terlampau "West End" (baca: fleksibel atau melentur). Lantas keJANTANan lelaki MELAYU tidak timbul. Mungkin beliau boleh memerhatikan bahasa tubuh Adlin Rahman Ramlie, biar menari seligat mana pun, "kekakuan lelaki MELAYU"nya tidak hilang.

Selain itu, lakonan para pelakon yang lain agak memberangsangkan terutamanya watak Sultan Mahmud.

Memandangkan ini adalah teater muzikal, tidak boleh tidak aspek nyanyian perlu diulas.

Di sinilah terserlah kekurangan vokal Tiara Jacquelina. Biarpun nyanyian beliau penuh emosi, namun jurang di antara nyanyian beliau dan nyanyian Stephen Rahman-Hughes, sedikit sebanyak mengurangkan "chemistry" di antara mereka berdua.

Di sinilah terserlah kredibiliti Hang Tuah, terutama nyanyian monolognya yang berkongsi dengan para penonton dilema yang dihadapi untuk meminang kekasih hati buat Sultan yang sangat ditaati.

Untuk sekian kali, teater terbitan Enfiniti Production memukau para penonton dengan kesan khas bunyi dan visual yang berkesan dan baik. Produksi ini digahkan lagi dengan rekaan set dan props yang tinggi standardnya oleh Raja Malek. Begitu juga seni tari yang dipersembahan, agak menarik dan kontemporari.

Cuma susunan muzik lagu-lagunya kurang tempo keMELAYUan. Mungkin bisa diperbaiki untuk musim akan datang.

Apa-apa pun, PGL III masih lagi satu produksi tempatan yang boleh dibanggakan biarpun boleh dipertingkat mutunya, terutama aspek lakonan Hang Tuah, nyanyian Putri Gusti dan susunan muzik lagu-lagunya.

Satu lagi, penceritaannya boleh diperketatkan agar para penonton boleh menangkap keagungan cinta lagenda ini. Semestinya adalah satu pengorbanan yang besar untuk seorang Puteri Hindu, meninggalkan segala-galanya untuk mendamba cinta seorang hulubalang terbilang yang memang mencintainya setulus hati. Tetapi cintanya itu kalah kepada kesetiaan kekasihnya kepada Sultannya.


Rating: B


Note: Pictures are courtesy of Eijal.

3 comments:

izal said...

my rating is B+

ukanera arenaku said...

izal:
a reasonable rating gak!

looka80 said...

badril - bestnyeeeeeeeer...! jeles taw uol dpt pegi PGL. 8-(