Tuesday 3 February 2009

Bukit Tabuh Lagi!

Aku panjat Bukit Tabuh lagi dengan Fezal, Ija Salleh dan Salizan. Kali ini, Ija Salleh dan Fezal bawa member baru. Zambri namanya. Welcome on board, Zambri!

Pertamanya, aku minta maaf banyak-banyak sebab terlambat sampai. Sebelum keluar rumah, perut aku tiba-tiba memulas dan aku terpaksa menunaikan hajat. Dalam kekalutan untuk segera sampai, aku tersalah ambil susur keluar. Kerana itu, pendakian yang dijadualkan pada 7.45 telah terlewat kurang lebih 15 minit. Sekali lagi, berbanyak-banyak maaf.

Alhamdulillah, aku kurang pancit di awal pendakian. Cuma ketika di hentian pertama, aku sedikit emosi apabila terlihat bukit berdekatan yang semakin gondol, diratakan untuk dijadikan kawasan perumahan mewah.

Pelik! Bukankah kerajaan, baik kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri sudah membekukan projek-projek di kawasan tanah tinggi?

Seingat aku, ketika aku mula-mula memanjat Bukit Tabuh ini, persekitaran sangat hijau dan sejuk mata memandang. Cuma sana sini, terdapat tompok-tompok coklat. Tapi kini, bukan setakat tompok, sudah seluas mata memandang! Sedih betul!!!

Di sepanjang pendakian, kami temui beberapa pengingatan yang digantung oleh pendaki-pendaki yang prihatin, agar para pendaki mengutamakan keselamatan. Keratan berita tentang dua kemalangan yang menimpa kepada dua orang pendaki perempuan turut ditayang untuk timbulkan kesedaran.

Biarpun ada berita-berita kurang enak, namun bukit ini masih dikunjungi orang ramai terutamanya di hujung minggu. Mana tidaknya, mendaki Bukit Tabuh adalah satu aktiviti luar yang selesa dan mudah. Sekiranya ia didaki dengan santai, kurang lebih dua jam kita akan di puncaknya. Biasanya aku dan kawan-kawan ada bersarapan di puncak, sebelum menuruninya melalui kawasan dusun orang kampung. Insya-Allah, paling lewat pun jam 12 tengahari kita sudah pun singgah ke kedai mamak yang berdekatan untuk menikmati segelas dua milo ais.

Apa yang penting ialah kita berhati-hati, jangan besar diri dan hayati keindahan alam dengan tenang.


Janganlah berita kemalangan di Bukit Tabuh serta gambar ular daun ini menipiskan hasrat kawan-kawan yang ingin menatap keindahan Kuala Lumpur dari puncak Bukit Tabuh. Ajal maut di tangan Allah. Seandainya kita berhati-hati dan tidak TAKBUR, insya-Allah, keindahan ciptaan Allah ini dapat kita nikmati dengan selamat.

Jom... ada berani?

3 comments:

Lanz said...

Ada beran!Pepagi subuh boleh panjat ke? Ushar sunrise.

Mya said...

teringin nak join sekaki, tp masih tak yakin dgn kemampuan diri arr.. huhu..

ukanera arenaku said...

lanz:
hehehe, tak berani nak panjat pagi-pagi subuh. kecuali bermalam kat atas tu.

mya:
jomlah mya... ada jugak dua tiga awek yg join we all.