Showing posts with label Theatre Review. Show all posts
Showing posts with label Theatre Review. Show all posts

Thursday, 19 March 2009

Sirah Junjungan Tahajud Cinta

Kalau tidak, aku sepatutnya ke gerai KY untuk meraikan hari ulang tahun Eijam. Akan tetapi aku telah berjanji dengan tujuh orang rakan sekerja (Juita, Rina, Anis, Fin, May & Melor) untuk menonton karya terbaru Eirma Fatima (since when she changed her "commercial" name?), Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Dan terima kasih daun keladi kepada Kat (and of course, housemate) yang membantu dalam pembelian tiket dan mendapatkan best seats for us! Tocheh... tocheh...

Artis jemputan kali ini adalah Dato' Siti Nurhaliza dan penyanyi daripada kumpulan nasyid, Brothers.



Secara peribadi, aku berpendapat bahawa naskah ini adalah terlalu berat untuk dipentas kerana banyak peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah. Jadi, keputusan untuk mengangkat sesatu peristiwa itu memerlukan pertimbangan yang teliti.

Dan susur galur Nabi Muhamad saw, yang selama 63 tahun itu banyak dibantu dengan narration daripada tukang cerita, yang kalau tak silap aku ialah Nazri, bekas vokalis kumpulan nasyid, Raihan.

Memandangkan teater Islam mempunyai beberapa tuntutan syarak, di sini diuji kreativiti Eirma untuk bercerita tanpa ditonjolkan susuk lakonan Rasulullah dan para sahabat. Lantas, mana-mana babak yang membabitkan Rasulullah, hanya suara yang mengujarkan sabda-sabda Baginda yang penuh teladan lagi puitis. Begitu juga dengan babak-babak yang membabitkan Saidatina Khatijah, dan para sahabat, teknik bayang ataupun wayang kulit digunakan dengan jayanya.

Salah satu perkara yang boleh diperbaiki untuk musim akan datang ialah kecendurungan Eirma menggunakan ramai extra. Dan kekerapan pak-pak/mak-mak pacak ini menyusuri laluan yang bersebelahan dengan penonton, sedikit sebanyak mencacatkan mood penonton, setidak-tidaknya mengganggu tumpuan aku.

Selain itu, penggunaan warna yang lebih terancang bisa mengukuhkan mesej-mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, babak yang menunjukkan para pemeluk Islam yang awal, yang diseksa dengan kejam oleh penduduk Quraisy akan lebih berkesan jika ada perbezaan daripada warna pakaian di antara Muslimin dan orang kafir Quraisy.

Tahniah buat pasukan props dan multimedia yang berjaya mencantikkan permentasan dengan rekaan set yang elaborate serta slideshow yang menghidupkan lagi beberapa babak penting seperti serangan burung ababil dan perang badar.

Begitu juga keberkesanan muzik skor asal yang dimainkan oleh Okestra Seni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer Nawi.



Secara keseluruhannya, teater muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta adalah satu pementasan yang sederhana. Biarpun didokong oleh lakonan, props dan teknikal yang baik, namun kekurangan utama teater ini adalah naskahnya yang kurang menyerlah dalam mengangkat kebesaran Nabi Muhamad saw. Rata-rata babak yang dipentas kurang menonjolkan sifat-sifat terpuji Rasulullah, kecuali babak terakhir sebelum kewafatan Nabi Junjungan kita.

Mungkinkah kita sudah agak familiar dengan Sirah Rasulullah, jadi expectation kita terlalu tinggi? Bagaimana dengan 7 orang pemuda pemudi berbangsa Tionghua yang duduk di hadapan aku?

Rating: B-


p/s: Happy birthday to Zetty Julia. All the best in your undertakings. May Allah bless you with more rahmat, berkat and joy. Aamin.

Sunday, 8 February 2009

Puteri Gunung Ledang The Musical

Majikan aku menghadiahkan para pekerjanya tiket-tiket untuk persembahan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) Musin ke-3. Dan aku telah memilih untuk menonton persembahan mereka pertama.

Biarpun ramai yang cuba pengaruhi aku agar tidak pergi ke persembahan malam pertama kerana (1) mungkin para pelakon agak gugup ataupun (2) ketidaklancaran sistem, baik audio, lampu, PA dan sebagainya; namun semua itu aku tolak ke tepi. Aku lebih teruja untuk saksikan keVIRGINan mereka. Kalau silap, silaplah. Kalau bagus, alhamdulillah.

Aku tiba ke Istana Budaya kurang lebih jam 7.30 malam. Kawasan letak kereta di perkarangan Istana Budaya sudah penuh, jadi aku parkir kereta aku di perkarangan Balai Seni Lukis Negara. Dalam perjalanan masuk, aku terserempak dengan Adlin Rahman Ramlie yang sedang membunuh masa dengan menghisap rokok.

Persembahan yang sepatutnya bermula jam 8.30 malam seperti yang tertera di atas tiket, bermula kira-kira jam 9.00 malam.

Biarpun sudah tonton persembahan yang sama di musim pertama, aku tetap siapkan diri agar rasa debar dan teruja bisa ada.

Secara umumnya, PGL III tiada rombakan besar terhadap jalan ceritanya. Masih serupa. Cuma apa yang aku perasan, beberapa babak telah diperhalusi bagi menjelaskan lagi pemikiran dan falsafah Puteri Majapahit tersebut terhadap manusia, kehidupan dan cinta. Dan kali ini, rentetan percintaan Puteri Jawa dan Laksamana Melaka juga ditekankan untuk membina aura sebuah percintaan yang agung.

Sayang sekali, ucapan dialog dan gerak tubuh Hang Tuah yang kurang keMELAYUan, merencatkan keberahian cinta yang ingin dibina. Selain pengucapan Stephen Rahman-Hughes yang kurang penghayatan, gerak tubuh beliau terlampau "West End" (baca: fleksibel atau melentur). Lantas keJANTANan lelaki MELAYU tidak timbul. Mungkin beliau boleh memerhatikan bahasa tubuh Adlin Rahman Ramlie, biar menari seligat mana pun, "kekakuan lelaki MELAYU"nya tidak hilang.

Selain itu, lakonan para pelakon yang lain agak memberangsangkan terutamanya watak Sultan Mahmud.

Memandangkan ini adalah teater muzikal, tidak boleh tidak aspek nyanyian perlu diulas.

Di sinilah terserlah kekurangan vokal Tiara Jacquelina. Biarpun nyanyian beliau penuh emosi, namun jurang di antara nyanyian beliau dan nyanyian Stephen Rahman-Hughes, sedikit sebanyak mengurangkan "chemistry" di antara mereka berdua.

Di sinilah terserlah kredibiliti Hang Tuah, terutama nyanyian monolognya yang berkongsi dengan para penonton dilema yang dihadapi untuk meminang kekasih hati buat Sultan yang sangat ditaati.

Untuk sekian kali, teater terbitan Enfiniti Production memukau para penonton dengan kesan khas bunyi dan visual yang berkesan dan baik. Produksi ini digahkan lagi dengan rekaan set dan props yang tinggi standardnya oleh Raja Malek. Begitu juga seni tari yang dipersembahan, agak menarik dan kontemporari.

Cuma susunan muzik lagu-lagunya kurang tempo keMELAYUan. Mungkin bisa diperbaiki untuk musim akan datang.

Apa-apa pun, PGL III masih lagi satu produksi tempatan yang boleh dibanggakan biarpun boleh dipertingkat mutunya, terutama aspek lakonan Hang Tuah, nyanyian Putri Gusti dan susunan muzik lagu-lagunya.

Satu lagi, penceritaannya boleh diperketatkan agar para penonton boleh menangkap keagungan cinta lagenda ini. Semestinya adalah satu pengorbanan yang besar untuk seorang Puteri Hindu, meninggalkan segala-galanya untuk mendamba cinta seorang hulubalang terbilang yang memang mencintainya setulus hati. Tetapi cintanya itu kalah kepada kesetiaan kekasihnya kepada Sultannya.


Rating: B


Note: Pictures are courtesy of Eijal.