Thursday 5 February 2009

Sifu & Tongga: Satu pengembaraan yang merisau


Pertamanya, terima kasih daun keladi kepada Grand Brilliance dan Tipah Vogue di atas jemputan ke pra-tonton filem terbaru (kalau tak silap filem ke-26) arahan Prof. Madya A. Razak Mohaiden.

Sebelum tayangan bermula, A. Razak Mohaiden menyimpulkan bahawa filem Sifu & Tongga adalah ubat kepada mereka yang susah hati. Beliau juga mengaku yang filem ini adalah filem pertama dalam genre satira pengembaraan. Hmmm...

Sebenarnya, ini adalah pertama kali aku menonton filem yang dibikin oleh A. Razak Mohaiden. Mungkin ada dua tiga filem beliau yang aku terpandang di kaca TV semasa menziarahi kaum keluarga ketika di hari lebaran ataupun ketika dalam feri mahupun bas ekspres, namun ini adalah pertama kali aku menonton filem beliau (1) di layar perak dan (2) dari mula santak habis.

A. Razak Mohaiden juga mengingatkan para penonton yang hadir bahawa filem terbaru beliau ini, sarat dengan kritikan-kritikan sosial. Hmmm...

Sifu & Tongga berkisarkan pengembaraan dua sahabat (ataupun adik dan abang angkat?) ke dunia luar daripada hutan belantara, mencari Mila, anak gadis Chief (ketua semasa kepada sekumpulan orang Melayu yang lari ke dalam hutan tika Malaya dijajah Jepun) yang dilarikan oleh Editor akhbar tabloid sensasi dan konco-konconya.

Menarik tak, jalan ceritanya?

Bagi aku, A. Razak Mohaiden terkeliru di antara tata hidup orang yang terputus daripada dunia luar dan tata hidup orang-orang primitif. Malah, pada satu peringkat, aku merasakan filem Sifu & Tongga seolah-olah menghina tahap intelektual orang-orang di zaman 40an yang lari mencari perlindungan di hutan. Santak, kereta dikatakan binatang yang mempunyai 4 kaki bulat! Bukankah pada zaman itu sudah ada kereta di Tanah Melayu. Sudah tentu ilmu tentang dunia luar akan diperturunkan oleh generasi tua kepada generasi muda sama ada dalam bentuk lisan mahupun bertulis.

Satu lagi yang memeningkan kepala aku, mengapa Tammy (lakonan Erra Fazira) beria-ia menyuruh Azad menyelidiki tentang asal usul Mila sedangkan dia bersama-sama konco-konconya terbang ke dalam hutan belantara dan menculik Mila. Sekiranya Tammy tidak tahu menahu tentang Mila dan "kaum"nya, bagaimana dia dan konco-konconya boleh terbang dengan helikopter ke lokasi yang tepat?

Dan aku rasa sangat tidak logik, untuk seorang Editor akhbar tabloid dalam abad ke-21 ini, membawa masuk seorang manusia lain yang dikurungnya dalam sangkar ke dalam studio TV!

Selain itu, Sifu & Tongga juga gagal menampilkan mutu komedi dan lakonan yang membanggakan. Paduan Saiful Apek dan Nabil gagal menghadirkan gelak yang ampuh dan berterusan. Ini mungkin disebabkan skrip dan lakon layar yang lemah, longgar dan tidak masuk akal. Begitu juga lakonan Fouziah Ghous dan Erra Fazira yang tampak tidak natural.

Di akhir tayangan, aku masih lagi mencari-cari kritikan sosial yang dicanang-canangkan. Apakah filem ini cuba menelanjangi kebobrokan kewartawanan di Malaysia? Ataupun, sifat-sifat tidak berperikemanusiaan kita terhadap golongan minoriti, baik rakyat Malaysia sendiri mahupun pendatang asing?

A. Razak Mohaiden gagal memanfaatkan premis ceritanya. Alangkah cantiknya seandainya pertembungan budaya di antara sekumpulan kecil orang Melayu yang terputus dengan dunia luar selama enam dekad dan majoriti penduduk Malaysia dikembangkan dengan sebaik mungkin. Sudah tentunya kumpulan ini yang lahir ke dalam hutan dengan nilai-nilai keMelayuan pada 40-an. Bagaimana mereka mendepani nilai-nilai keMelayuan di abad ke-21 ini!

Sebaliknya, kita dibobrokkan dengan kebodohan ataupun lurus bendul Sifu dan Tongga yang dibuat-buat dan klise.

Kalau ada yang baru pun, para penonton dapat menyaksikan Azwan Ali menjadi mak nyah di layar perak! Kalau anda rasa berbaloi, pergilah menonton Sifu & Tongga di pawagam yang berdekatan.


Rating: C-

4 comments:

Mus The Great said...

c-?, i thought it should be way waay worse than that....

tipahvogue said...

i kasi rating E-... *giler kijam*

ukanera arenaku said...

ops... generous ke i?
hehehe

ukanera arenaku said...

my marking scheme:

A+ 90-100
A 85-89
A- 80-84
B+ 70-79
B 65-69
B- 60-64
C+ 50-59
C 45-49
C- 40-44
D+ 30-39
D 25-29
D- 20-24
E 0-19