Showing posts with label YB Nur Jazlan. Show all posts
Showing posts with label YB Nur Jazlan. Show all posts

Wednesday, 3 September 2014

Putrajaya perlu ‘political will’ pulihkan MAS

Ditulis oleh: Datuk Nur Jazlan Mohamed

Akhirnya, pemilik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu kerajaan Malaysia melalui Khazanah Nasional mengumumkan 12 pelan tindakan bagi menyelamatkan ikon kebanggaan negara, Jumaat lalu, selepas dinantikan semua pihak bagi mengembalikan semula nyawa kepada syarikat penerbangan yang sedang nazak dan “berdarah” RM3 juta sehari.
Saya turut menantikan tindakan Khazanah Nasional yang dipimpin individu berpengaruh dan amat sinonim dengan pelan pemulihan MAS sejak ia mula diambil semula daripada tokoh perniagaan kontroversi, Tan Sri Tajuddin Ramli tetapi terus tidak mendatangkan sebarang hasil konkrit.
Selepas dua kali menulis mengenai MAS dalam ruangan saya dalam portal berita ini, bertajuk “Kerajaan, MAS dan industri penerbangan negara ‘sakit’” bahagian 1 dan 2 yang diterbitkan pada 6 Mac dan 1 April lalu, terus terang saya terpaksa akui tiada apa yang menarik mengenai pelan tindakan MAS itu. 
Selain terus menggunakan wang rakyat berjumlah RM6 bilion yang terpaksa dilabur bagi menyelamatkan “Wau” negara ini, penstrukturan MAS hanyalah bersifat penstrukturan kewangan atau lebih kepada membersihkan “balance sheet”.
Tetapi saya tersenyum juga memandangkan Khazanah bersetuju dengan artikel saya dalam portal berita ini, mengenai pentingnya Dasar Penerbangan Negara digubal bagi memastikan setiap syarikat penerbangan tempatan dapat beroperasi secara kompetitif.
Bagaimanapun, sedikit kecewa kerana tiada huraian mengenai Dasar Penerbangan Negara itu, yang sepatutnya diumumkan Menteri Pengangkutan atau Khazanah mahu menyimpan sedikit rahsia bagi mengejutkan semua orang.
Sesuatu yang sebenarnya langsung tidak perlu dilakukan bagi menyimpan rahsia menyelamatkan MAS atau syarikat pelaburan kerajaan itu perlu menunggu hasil khidmat konsultan asing berjuta ringgit yang dilantik seperti kebiasaan dilakukan.
Itulah yang selama ini, menjadi “kekuatan” Khazanah, melantik konsultan dengan belanja berjuta ringgit bagi menjalankan kerja mereka sedangkan, umum mengetahui betapa pengurusan tertinggi syarikat pelaburan berkenaan, memperoleh upah yang begitu lumayan sekali berbanding GLC lain.
Lebih memelikkan Khazanah memerlukan sehingga tiga tahun untuk menjalankan penstrukturan kewangan MAS tetapi langsung tidak menghuraikan mengenai model perniagaan baru syarikat berkenaan bagi meletakkan ia semula menjadi pemain utama dalam industri penerbangan di rantau ini.
Apabila Qantas Australia mengumumkan kerugian beberapa hari semula pengumuman Khazanah, ia seakan cuba memberitahu semua syarikat penerbangan dunia berhadapan dengan kemerosotan kewangan hingga mengakibatkan kerugian.
Namun di Malaysia, ia sesuatu yang amat berbeza memandangkan setiap kali MAS mengumumkan kerugian, setiap kali itulah syarikat tambang rendah negara, AirAsia mengumumkan keuntungan.
Malah, model perniagaan AirAsia kemudian seakan ditiru Malindo Air sekaligus terus memberikan tekanan kepada MAS hingga ada tanggapan Khazanah selaku pemilik MAS “buta” dengan apa yang sedang berlaku di AirAsia.
Bukan mahu memuji AirAsia tetapi siapa boleh menyangkal kemajuan dalam syarikat berkenaan yang beroperasi tidak sampai dua dekad tetapi kini mempunyai akses laluan domestik dan antarabangsa kepada lebih banyak negara berbanding MAS.
Atas sebab itu juga Khazanah dan kerajaan cuba untuk mewujudkan sinergi dengan AirAsia dan ia dilakukan pada Ogos 2011 melalui Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF) bagi membolehkan MAS, AirAsia dan AirAsia X meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang, bagi memanfaatkan kecekapan teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan.
Sebagai sebahagian daripada CCF itu, Khazanah dan Tune Air menjalin perjanjian pertukaran saham bagi menjajarkan kepentingan pemegang saham utama MAS dan AirAsia, yang sekaligus akan mengukuhkan potensi kerjasama berkenaan dan majlis menandatangani CCF itu saksikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai “endorsement” terhadap usaha berkenaan.
Namun seperti kata pepatah “harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”, selepas lapan bulan dikecam semua pihak termasuk Ahli Parlimen BN dalam sidang Dewan Rakyat, MAS dan AirAsia membatalkan perjanjian berkenaan.
Dan lebih malang lagi, kedua-dua syarikat penerbangan itu, kemudiannya didenda Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC) pada September 2013 kerana CCF itu, mempunyai matlamat berkongsi pasaran domestik.
Ada yang menyatakan pada saya, denda yang dikenakan MyCC itu adalah sesuatu yang amat kelakar kerana bagaimana satu perjanjian yang dirangka sekelompok individu berkuasa dan berpengaruh di Malaysia sama ada dalam bidang perniagaan atau kerajaan, boleh dikenakan denda?
Adakah mereka ini, langsung tidak berfikir atau terlepas pandang mengenai matlamat CCF itu yang jelas melanggar undang-undang atau adakah mereka berasa mereka di atas undang-undang?
Justeru, satu lagi episod baru MAS dilakonkan sekali lagi melalui penstrukturan yang diumumkan dan dengan tiada langsung kerangka mengenai penstrukturan operasi MAS, sebenarnya, tidak banyak boleh dilakukan bagi memulihkan semula “Wau” negara  kembali ke zaman kegemilangannya pada tahun 80-an.
Malah jika diteliti pada semua pelan tindakan berkenaan, ia seakan sama seperti yang pernah cuba diusahakan Datuk Seri Idris Jala yang dipilih menjadi pengarah urusan MAS pada 2005.
Sebenarnya, MAS memerlukan penstrukturan operasi radikal dalam memastikan ia mampu bersaing dengan AirAsia khususnya, terutama sekali merebut semula cengkaman terhadap laluan domestik yang kini, dibolot syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.
Pada masa sama ancaman MAS juga tidak hanya berkisar kepada AirAsia tetapi juga Dasar Langit Terbuka yang akan dilaksanakan pada 2015 yang membolehkan semua syarikat penerbangan asing bebas untuk keluar masuk penumpang ke negara ini.
Ketika MAS dikatakan mempunyai kelebihan sebagai “full service airline”, ia sebenarnya tidak lagi memberi sebarang keistimewaan kepada penumpang masa kini, yang lebih mementingkan harga tambang murah dan sanggup berkompromi terhadap faktor keselesaan.
Selain itu, armada pesawat MAS yang sudah berusia juga perlu diganti dengan segera kerana ia bukan sahaja merugikan daripada segi penyelenggaraan dan operasi tetapi juga imej MAS.
Semua perkara ini, tidak disentuh Khazanah dalam 12 pelan tindakannya, yang ada hanya mengurangkan pekerja dan usaha lain termasuk mewujudkan syarikat baru (NewCo) bagi mengambil alih semua yang dimiliki MAS termasuk liabiliti.
Ia sebenarnya amat “dejavu” untuk saya apabila membaca mengenai penubuhan NewCo ini, seakan sama seperti apa yang pernah dilakukan Khazanah melalui Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) yang ditubuhkan pada 2002, sebagai salah satu usaha menstrukturkan MAS dan akhirnya mengakibatkan kerugian kepada kerajaan kira-kira RM3 bilion.
Jika kerajaan benar-benar ikhlas dalam memulihkan semula MAS, ia sepatutnya menggunakan peluang ini, bagi memastikan Dasar Penerbangan Negara yang bakal digubal benar-benar bersifat inklusif serta pragmatik.
Kita sudah tentu tidak mahu, apa yang akan dilakukan kerajaan bagi memulihkan semula MAS melalui Dasar Penerbangan Negara, bakal membantut dan menekan syarikat penerbangan tempatan lain daripada berkembang.
Ini adalah situasi tidak elok untuk imej Malaysia dalam iklim ekonomi dan perniagaan dunia kerana seharusnya, semua syarikat penerbangan tempatan diberikan peluang dan perlindungan sama rata, bukan terikat dengan emosi serta sentimen masa lalu seperti kata pepatah “jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran” kerana apa yang penting adalah dasar ini, memberikan kebaikan kepada rakyat dengan laluan bertambah dan kos tambang yang rendah.
Apa yang berlaku pada MAS bukan sesuatu yang luar biasa atau misteri seperti dialami MH370, tetapi ia pernah terjadi kepada banyak syarikat penerbangan utama dunia seperti Japan Airlines dan British Airways.
Yang paling penting adalah “political will” daripada Putrajaya dalam memastikan MAS benar-benar mampu pulih seperti yang pernah dikecapinya.
Jika ramai yang memikirkan nasib 6,000 pekerja MAS yang bakal kehilangan pekerjaannya dalam penstrukturannya, bagaimana pula dengan nasib baki pekerjanya, yang terus tertanya-tanya apa sebenarnya masa depan mereka dan apa sebenarnya hala tuju MAS di tangan Khazanah.
Khazanah sudah membelanjakan dan kemudian rugi RM17 billion  dalam MAS sejak ia mengambil alih daripada Tan Sri Tajuddin dan kini, kerajaan bersetuju menyalurkan sekali lagi RM6 bilion dalam bentuk “pelaburan” dan apa yang digariskan Khazanah langsung tidak berkisar kepada penstrukturan operasi dan perniagaan.
Dan di sebalik segala kerugian yang dialami Khazanah terhadap MAS, ada suatu yang amat pelik dan menjadi tanda tanya apabila tiada siapa dalam Khazanah dipertanggungjawabkan atas segala kegagalan pelan-pelan penstrukturan sebelum ini, yang hanya disaksikan dalam episod MAS lalu, adalah pertukaran MD selaku pelakon utama silih berganti.
Jika ini nasihat kepada kerajaan melalui “punahsihat” mengenai MAS, sudah pasti tiga tahun lagi, kita tidak akan menyaksikan sebarang keistimewaan akan berlaku pada “Wau” negara ini.
Tidak mustahil tiga tahun lagi, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 14 semakin hampir, MAS akan terus mencatatkan kerugian dan percayalah, ia akan menjadi modal politik utama kepada pembangkang menghentam BN kerana terus gagal berbelanja dengan berhemah sehingga mengabaikan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
The article was first published on The Malaysian Insider.

Monday, 4 August 2014

Putrajaya salah strategi isu kenaikan tol Tambak Johor

Oleh: YB Datuk Nur Jazlan Mohamed

Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri pada saat kenaikan harga barangan serta kos sara hidup yang semakin meningkat, rakyat Malaysia di kawasan Johor selatan dikejutkan dengan kenaikan tol di Tambak Johor lebih 400%, berkuatkuasa Jumaat lalu.

Kenaikan tol itu yang diumumkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dua hari sebelum Aidilfitri mengundang pelbagai reaksi segenap lapisan masyarakat di Johor khususnya di kawasan Johor selatan atau lebih tepat lagi Johor Baru.

Saya selaku ahli Parlimen Pulai mengeluarkan kenyataan media sebaik mendapat makluman mengenai kenaikan kadar tol berkenaan menuntut supaya kerajaan mengkaji semula kenaikan tol itu kerana ia jelas akan membebankan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang sebelum ini, sudah terjejas dengan kenaikan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) oleh Singapura.

Namun tanpa disangka, kenaikan tol di Tambak Johor dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) bertukar menjadi  isu perkauman kerana ia dilihat lebih terkesan kepada masyarakat Cina yang lebih ramai bekerja di Singapura berbanding kaum lain termasuk orang Melayu.
Sebagai ahli Parlimen untuk semua kaum, saya berpendapat keputusan kerajaan menaikkan kadar tol berkenaan tanpa mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk saya sendiri selaku ahli Parlimen amat tidak menggambarkan konsep 'rakyat didahulukan'.

Isu kenaikan kadar tol ini, jelas dipolitikkan begitu meluas di media sosial dengan pelbagai pihak mempunyai pandangan masing-masing termasuk memberikan gambaran ia adalah reaksi emosi kerajaan Malaysia terhadap kenaikan VEP Singapura. Malah, saya sendiri 'dihentam' bloggers pro BN yang menggambarkan kenyataan saya seperti ahli Parlimen dari Singapura serta tidak menyokong keputusan kerajaan menaikkan kadar tol berkenaan.

Memang benar, hujah beberapa pihak mengenai kesetiaan rakyat Malaysia yang memilih untuk menjadi Pemastautin Tetap (PR) Singapura dan memilih untuk terus tinggal di Johor serta memandu kenderaan negara seberang tambak berkenaan.

Tetapi selaku ahli Parlimen di kawasan Johor selatan, saya perlu bersikap adil dengan pengundi Parlimen Pulai yang bekerja di Singapura yang jelas terbeban serta terkesan dengan kenaikan kadar tol berkenaan.

Bagi mereka keputusan kerajaan itu langsung tidak adil serta tidak memahami keperitan mereka perlu berulang alik ke Singapura demi mencari rezeki yang kemudian dibawa balik semula ke Johor sekali gus meningkatkan ekonomi negeri. Mereka ini, tidak mempunyai pilihan kerana perlu bekerja di negara seberang Tambak berikutan kadar upah lebih tinggi serta peluang pekerjaan lebih baik yang tidak didapati di Johor.

Kenaikan kadar tol berkenaan yang kemudian akan disusuli dengan VEP oleh Malaysia tidak lama lagi, jelas memberikan kesan besar terhadap perbelanjaan seharian mereka dan mungkin menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan 'mewah' di Johor.

Ia akan mengakibatkan rantaian ekonomi Johor terganggu terutama sekali peniaga kedai makanan serta runcit yang amat bergantung kepada kuasa membeli rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Pada masa sama, saya juga tidak mahu tindakan kerajaan menaikkan kadar tol selain pengenalan VEP untuk kenderaan asing dilihat sebagai 'tit for tat' daripada Malaysia disebabkan tindakan Singapura.

Malah, tindakan membebankan sama ada daripada kerajaan Singapura dan Malaysia sudah pasti memberikan kesan besar kepada rakyat kedua-dua negara yang mempunyai pertalian kuat serta bergantung bukan saja daripada ekonomi malah juga sosial.

Berikutan tindakan kerajaan menaikkan kadar tol Jumaat lalu, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LAT) kemudian mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan akan menaikkan juga kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands.

Sampai bila sikap berbalas-balas seperti ini, akan berakhir?

Rakyat perlu dimaklumkan terlebih dulu mengenai kemungkinan berlaku kenaikan kadar tol bagi membolehkan mereka bersedia dan menyesuaikan diri terutama sekali daripada segi perbelanjaan.

Kini, apa yang dapat dilihat adalah tindakan kerajaan menaikkan kadar tol berkenaan bukan disebabkan dasar tetapi lebih kepada emosi selain timbul 1001 persoalan mengenai status EDL itu sendiri.

Ini kerana EDL pada asalnya, dibina sebuah syarikat swasta kemudian diambil alih kerajaan selepas wujud desakan masyarakat setempat supaya lebuh raya berkenaan dikecualikan tol, tetapi kini kerajaan mengumumkan pula kenaikan tol di Tambak Johor dengan alasan pengguna lalu lintas ke Singapura menikmati infrastruktur yang lebih baik.

Infrastruktur apakah yang dimaksudkan itu? Adakah ia EDL? Atau CIQ BSI? Di sinilah timbul pelbagai persoalan di kalangan rakyat Johor Baru yang semakin pelik dengan tindakan kerajaan dilihat cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak mahu berterus terang mengenai alasan kenaikan kadar tol itu.

Sebab itu, selaku pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), saya mahu mengetahui status sebenar EDL ini, kerana pada asalnya ia bukan projek kerajaan dan tidak melalui tender kerajaan.

Jika kerajaan terus bertegas menaikkan kadar tol ini, pengecualian segera perlu diberikan kepada pengangkutan awam yang digunakan rakyat berpendapatan rendah untuk berulang alik dari Johor ke Singapura.

Disebabkan kurangnya sikap berhati-hati dalam menaikkan kadar tol ini, ia turut menyebabkan berlaku mogok bas awam yang tidak mahu membayar harga tol baru sekali gus menyusahkan rakyat jelata.

Tidak mustahil selepas ini, syarikat bas awam yang berulang dari Johor ke Singapura akan mengumumkan kenaikan harga tambang bagi menyerap kadar tol baru dan ia akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

Dasar kerajaan seharusnya, melindungi kepentingan rakyat secara keseluruhan bukan tunduk kepada desakan politik kerana kerajaan perlu sedar mereka akan dinilai rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketika ini, parti pembangkang khususnya, DAP dilihat menjadi pejuang kepada golongan yang terjejas akibat kenaikan kadar tol ini, dan ia sebenarnya, adalah petanda tidak baik kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Johor selatan.

Kita perlu sedar hakikat kawasan Johor selatan kini, mempunyai ramai pengundi masyarakat Cina yang bekerja di Singapura dan mereka sudah pasti mahu memilih parti yang memperjuangkan nasib mereka.

Sebab itu, kenaikan kadar tol ini, terus menjadi isu politik yang kemudian menjadi isu perkauman sekali gus akan memberikan imej tidak baik kepada BN dan Umno Johor kerana terus dilihat gagal membela nasib semua kaum secara inklusif seperti yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno dan perdana menteri.

Jalan penyelesaian perlu diambil dengan segera dan campur tangan pantas Putrajaya amat perlu bagi menyelesaikan isu kenaikan kadar tol ini, kerana rakyat akar umbi tidak mahu menerima alasan lemah yang diberikan kerajaan.

Alasan kenaikan disebabkan infrastruktur yang lebih baik serta mengawal jumlah kenderaan masuk ke Johor amat tidak boleh diterima dan lemah menyebabkan ia mudah dipolitikkan.

Ini disebabkan walaupun mempunyai EDL dan CIQ baru, semua mengetahui mengenai kesesakan lalu lintas yang terus terpaksa dihadapi untuk memasuki Johor melalui Tambak Johor.

Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan mengenai pertumbuhan Iskandar Malaysia dan adalah sesuatu yang memelikkan kerana tidak ada kenyataan daripada Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda) mengenai kenaikan kadar tol ini, sama ada ia akan menjejaskan pelaburan dari Singapura ke wilayah ekonomi ini.

Justeru sudah pasti akan wujud kesan terhadap kenaikan kadar tol ini, terutama sekali rakyat Singapura yang berulang alik ke Johor sama ada yang menetap atau bekerja di Iskandar Malaysia.

Terus terang saya nyatakan rakyat Singapura yang masuk ke Johor Baru tidak akan merasai kesan kenaikan kadar tol ini, kerana menikmati tukaran mata wang yang tinggi selain perlu untuk keluar dari republik berkenaan.

Yang paling teruk terjejas adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura demi mencari rezeki lebih baik di negara berkenaan disebabkan kurangnya peluang pekerjaan di Johor itu sendiri.

Kerajaan sedar kejayaan Iskandar Malaysia amat bergantung kepada pelaburan dari Singapura dan atas sebab itu, saya dimaklumkan mengenai adanya 'arahan' kerajan Singapura kepada media negara itu, untuk tidak menghentam Iskandar Malaysia dan kepimpinan Najib.

'Endorsement' Singapura terhadap Iskandar Malaysia amat perlu dalam menarik pelabur asing ke wilayah pembangunan ekonomi ini, dan andai kata pelabur dan rakyat negara itu, sudah mula bercakap mengenai keburukan dan kelemahan Malaysia dan Johor khususnya, pertumbuhan Iskandar Malaysia pasti akan terjejas.

Atas sebab itu, suatu tindakan segera amat perlu diambil dalam menangani kenaikan kadar tol ini, kerana bagi saya selain ia melarat menjadi isu politik dan perkauman, masa depan Iskandar Malaysia juga perlu diambil kira.

Putrajaya perlu sedar mereka tidak seharusnya tunduk kepada desakan politik termasuk daripada Umno sendiri, dalam isu kenaikan kadar tol ini, yang menjadi keutamaan adalah rakyat yang sudah pasti bukan saja orang Melayu tetapi juga kaum lain.

Ingin saya tegaskan selaku ahli Parlimen Pulai yang terletak dalam kawasan Johor selatan, saya tidak bersetuju dengan kenaikan kadar tol ini, kerana implikasinya adalah penduduk Johor sendiri yang bekerja di Singapura terutama sekali pengundi dalam Parlimen Pulai.

Bagaimanapun, saya bukanlah mahu menolak terus kenaikan kadar tol ini, jika alasan menaikkan kadar tol ini disebabkan dasar berikutan inflasi selain ia tidak pernah dinaikkan sejak mula dilaksanakan.

Tetapi kenaikannya terlalu mendadak hingga kadarnya lebih tinggi daripada kadar inflasi sehingga timbul persepsi lebihan hasil tol berkenaan digunakan bagi menampung kos EDL.

Rakyat kini sudah cerdik dan perdana menteri sendiri menyatakan zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir, jadi penjelasan telus perlu diberikan dan walaupun pahit, saya percaya rakyat boleh menerimanya bukan dengan alasan yang lemah seakan mahu membodohkan rakyat.

Tidak ada gunanya selepas ini, jika Iskandar Malaysia mempunyai segala macam kekayaan tetapi wakil rakyatnya terdiri daripada parti pembangkang seperti yang berlaku di Kuala Lumpur.

Jika Putrajaya tidak berhati-hati menangani kenaikan kadar tol ini, segala usaha Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia kedua untuk menguatkan perpaduan antara kaum di kawasan bandar selepas berlakunya tragedi hitam 13 Mei akan sia-sia kerana isu ini, sudah pasti bertukar menjadi isu perkauman di kawasan Johor selatan. – 4 Ogos, 2014.