Wednesday, 3 September 2014

Putrajaya perlu ‘political will’ pulihkan MAS

Ditulis oleh: Datuk Nur Jazlan Mohamed

Akhirnya, pemilik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu kerajaan Malaysia melalui Khazanah Nasional mengumumkan 12 pelan tindakan bagi menyelamatkan ikon kebanggaan negara, Jumaat lalu, selepas dinantikan semua pihak bagi mengembalikan semula nyawa kepada syarikat penerbangan yang sedang nazak dan “berdarah” RM3 juta sehari.
Saya turut menantikan tindakan Khazanah Nasional yang dipimpin individu berpengaruh dan amat sinonim dengan pelan pemulihan MAS sejak ia mula diambil semula daripada tokoh perniagaan kontroversi, Tan Sri Tajuddin Ramli tetapi terus tidak mendatangkan sebarang hasil konkrit.
Selepas dua kali menulis mengenai MAS dalam ruangan saya dalam portal berita ini, bertajuk “Kerajaan, MAS dan industri penerbangan negara ‘sakit’” bahagian 1 dan 2 yang diterbitkan pada 6 Mac dan 1 April lalu, terus terang saya terpaksa akui tiada apa yang menarik mengenai pelan tindakan MAS itu. 
Selain terus menggunakan wang rakyat berjumlah RM6 bilion yang terpaksa dilabur bagi menyelamatkan “Wau” negara ini, penstrukturan MAS hanyalah bersifat penstrukturan kewangan atau lebih kepada membersihkan “balance sheet”.
Tetapi saya tersenyum juga memandangkan Khazanah bersetuju dengan artikel saya dalam portal berita ini, mengenai pentingnya Dasar Penerbangan Negara digubal bagi memastikan setiap syarikat penerbangan tempatan dapat beroperasi secara kompetitif.
Bagaimanapun, sedikit kecewa kerana tiada huraian mengenai Dasar Penerbangan Negara itu, yang sepatutnya diumumkan Menteri Pengangkutan atau Khazanah mahu menyimpan sedikit rahsia bagi mengejutkan semua orang.
Sesuatu yang sebenarnya langsung tidak perlu dilakukan bagi menyimpan rahsia menyelamatkan MAS atau syarikat pelaburan kerajaan itu perlu menunggu hasil khidmat konsultan asing berjuta ringgit yang dilantik seperti kebiasaan dilakukan.
Itulah yang selama ini, menjadi “kekuatan” Khazanah, melantik konsultan dengan belanja berjuta ringgit bagi menjalankan kerja mereka sedangkan, umum mengetahui betapa pengurusan tertinggi syarikat pelaburan berkenaan, memperoleh upah yang begitu lumayan sekali berbanding GLC lain.
Lebih memelikkan Khazanah memerlukan sehingga tiga tahun untuk menjalankan penstrukturan kewangan MAS tetapi langsung tidak menghuraikan mengenai model perniagaan baru syarikat berkenaan bagi meletakkan ia semula menjadi pemain utama dalam industri penerbangan di rantau ini.
Apabila Qantas Australia mengumumkan kerugian beberapa hari semula pengumuman Khazanah, ia seakan cuba memberitahu semua syarikat penerbangan dunia berhadapan dengan kemerosotan kewangan hingga mengakibatkan kerugian.
Namun di Malaysia, ia sesuatu yang amat berbeza memandangkan setiap kali MAS mengumumkan kerugian, setiap kali itulah syarikat tambang rendah negara, AirAsia mengumumkan keuntungan.
Malah, model perniagaan AirAsia kemudian seakan ditiru Malindo Air sekaligus terus memberikan tekanan kepada MAS hingga ada tanggapan Khazanah selaku pemilik MAS “buta” dengan apa yang sedang berlaku di AirAsia.
Bukan mahu memuji AirAsia tetapi siapa boleh menyangkal kemajuan dalam syarikat berkenaan yang beroperasi tidak sampai dua dekad tetapi kini mempunyai akses laluan domestik dan antarabangsa kepada lebih banyak negara berbanding MAS.
Atas sebab itu juga Khazanah dan kerajaan cuba untuk mewujudkan sinergi dengan AirAsia dan ia dilakukan pada Ogos 2011 melalui Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF) bagi membolehkan MAS, AirAsia dan AirAsia X meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang, bagi memanfaatkan kecekapan teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan.
Sebagai sebahagian daripada CCF itu, Khazanah dan Tune Air menjalin perjanjian pertukaran saham bagi menjajarkan kepentingan pemegang saham utama MAS dan AirAsia, yang sekaligus akan mengukuhkan potensi kerjasama berkenaan dan majlis menandatangani CCF itu saksikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai “endorsement” terhadap usaha berkenaan.
Namun seperti kata pepatah “harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”, selepas lapan bulan dikecam semua pihak termasuk Ahli Parlimen BN dalam sidang Dewan Rakyat, MAS dan AirAsia membatalkan perjanjian berkenaan.
Dan lebih malang lagi, kedua-dua syarikat penerbangan itu, kemudiannya didenda Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC) pada September 2013 kerana CCF itu, mempunyai matlamat berkongsi pasaran domestik.
Ada yang menyatakan pada saya, denda yang dikenakan MyCC itu adalah sesuatu yang amat kelakar kerana bagaimana satu perjanjian yang dirangka sekelompok individu berkuasa dan berpengaruh di Malaysia sama ada dalam bidang perniagaan atau kerajaan, boleh dikenakan denda?
Adakah mereka ini, langsung tidak berfikir atau terlepas pandang mengenai matlamat CCF itu yang jelas melanggar undang-undang atau adakah mereka berasa mereka di atas undang-undang?
Justeru, satu lagi episod baru MAS dilakonkan sekali lagi melalui penstrukturan yang diumumkan dan dengan tiada langsung kerangka mengenai penstrukturan operasi MAS, sebenarnya, tidak banyak boleh dilakukan bagi memulihkan semula “Wau” negara  kembali ke zaman kegemilangannya pada tahun 80-an.
Malah jika diteliti pada semua pelan tindakan berkenaan, ia seakan sama seperti yang pernah cuba diusahakan Datuk Seri Idris Jala yang dipilih menjadi pengarah urusan MAS pada 2005.
Sebenarnya, MAS memerlukan penstrukturan operasi radikal dalam memastikan ia mampu bersaing dengan AirAsia khususnya, terutama sekali merebut semula cengkaman terhadap laluan domestik yang kini, dibolot syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.
Pada masa sama ancaman MAS juga tidak hanya berkisar kepada AirAsia tetapi juga Dasar Langit Terbuka yang akan dilaksanakan pada 2015 yang membolehkan semua syarikat penerbangan asing bebas untuk keluar masuk penumpang ke negara ini.
Ketika MAS dikatakan mempunyai kelebihan sebagai “full service airline”, ia sebenarnya tidak lagi memberi sebarang keistimewaan kepada penumpang masa kini, yang lebih mementingkan harga tambang murah dan sanggup berkompromi terhadap faktor keselesaan.
Selain itu, armada pesawat MAS yang sudah berusia juga perlu diganti dengan segera kerana ia bukan sahaja merugikan daripada segi penyelenggaraan dan operasi tetapi juga imej MAS.
Semua perkara ini, tidak disentuh Khazanah dalam 12 pelan tindakannya, yang ada hanya mengurangkan pekerja dan usaha lain termasuk mewujudkan syarikat baru (NewCo) bagi mengambil alih semua yang dimiliki MAS termasuk liabiliti.
Ia sebenarnya amat “dejavu” untuk saya apabila membaca mengenai penubuhan NewCo ini, seakan sama seperti apa yang pernah dilakukan Khazanah melalui Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) yang ditubuhkan pada 2002, sebagai salah satu usaha menstrukturkan MAS dan akhirnya mengakibatkan kerugian kepada kerajaan kira-kira RM3 bilion.
Jika kerajaan benar-benar ikhlas dalam memulihkan semula MAS, ia sepatutnya menggunakan peluang ini, bagi memastikan Dasar Penerbangan Negara yang bakal digubal benar-benar bersifat inklusif serta pragmatik.
Kita sudah tentu tidak mahu, apa yang akan dilakukan kerajaan bagi memulihkan semula MAS melalui Dasar Penerbangan Negara, bakal membantut dan menekan syarikat penerbangan tempatan lain daripada berkembang.
Ini adalah situasi tidak elok untuk imej Malaysia dalam iklim ekonomi dan perniagaan dunia kerana seharusnya, semua syarikat penerbangan tempatan diberikan peluang dan perlindungan sama rata, bukan terikat dengan emosi serta sentimen masa lalu seperti kata pepatah “jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran” kerana apa yang penting adalah dasar ini, memberikan kebaikan kepada rakyat dengan laluan bertambah dan kos tambang yang rendah.
Apa yang berlaku pada MAS bukan sesuatu yang luar biasa atau misteri seperti dialami MH370, tetapi ia pernah terjadi kepada banyak syarikat penerbangan utama dunia seperti Japan Airlines dan British Airways.
Yang paling penting adalah “political will” daripada Putrajaya dalam memastikan MAS benar-benar mampu pulih seperti yang pernah dikecapinya.
Jika ramai yang memikirkan nasib 6,000 pekerja MAS yang bakal kehilangan pekerjaannya dalam penstrukturannya, bagaimana pula dengan nasib baki pekerjanya, yang terus tertanya-tanya apa sebenarnya masa depan mereka dan apa sebenarnya hala tuju MAS di tangan Khazanah.
Khazanah sudah membelanjakan dan kemudian rugi RM17 billion  dalam MAS sejak ia mengambil alih daripada Tan Sri Tajuddin dan kini, kerajaan bersetuju menyalurkan sekali lagi RM6 bilion dalam bentuk “pelaburan” dan apa yang digariskan Khazanah langsung tidak berkisar kepada penstrukturan operasi dan perniagaan.
Dan di sebalik segala kerugian yang dialami Khazanah terhadap MAS, ada suatu yang amat pelik dan menjadi tanda tanya apabila tiada siapa dalam Khazanah dipertanggungjawabkan atas segala kegagalan pelan-pelan penstrukturan sebelum ini, yang hanya disaksikan dalam episod MAS lalu, adalah pertukaran MD selaku pelakon utama silih berganti.
Jika ini nasihat kepada kerajaan melalui “punahsihat” mengenai MAS, sudah pasti tiga tahun lagi, kita tidak akan menyaksikan sebarang keistimewaan akan berlaku pada “Wau” negara ini.
Tidak mustahil tiga tahun lagi, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 14 semakin hampir, MAS akan terus mencatatkan kerugian dan percayalah, ia akan menjadi modal politik utama kepada pembangkang menghentam BN kerana terus gagal berbelanja dengan berhemah sehingga mengabaikan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
The article was first published on The Malaysian Insider.

No comments: