Thursday, 27 June 2013

Tiga Chinta Ku

Sementara menanti minda ini bangkit untuk menukilkan sajak-sajak terbaru, izinkan aku menyiarkan kembali koleksi sajak peribadiku di Aku dan Sajak untuk segmen Ulang Terbit, pada setiap hari Khamis.


Tiga Chinta Ku

Terima kasih Tuhan
kerna anugerah-Mu
aku gembira
dengan tiga Chintaku.

Sembilan purnama
aku bersatu dengannya
bertarung duka, berteman suka
anyam kasih dengan udara yang sama
santak dibenar-Mu
melihat sendiri mentari nan satu.

Tiga darsawarsa lagi
aku dan Chinta memadu hati
ajarku diri, didikku berlari
kejar cita dan cinta
santak bertemu Chinta II.

Dialah Layla, akulah Majnun
akulah Rumi, dialah Juli
junjung tradisi Adam dan Hawa
sambung canang Al-Amin
dengan restu-Mu kami bersatu
berperang duka, berkawan suka
sama-sama mengait sayang
dengan bebenang kasih, muafakat dan asmara.

Betapa Kau Maha Pemurah
sejurus Chinta II buka mulut
aku melutut syukur
percaya, tidak percaya
kau hadirkan Chinta III
bakal sinari duniaku
yang deras berlalu.

Saat dan ketika ini
dengan jantung bergegup laju
ghairah dan teruja
tunggu Chinta pertama dan kedua
pimpin keluar madu mereka
untuk dipertemu denganku
yang penat menanti sembilan purnama.

Dengan iqamah ku pasang janji
kan ku bimbing Chinta III
jika tak seumpama Khadijah atau Fatimah
biar secantik Chinta, semolek Chinta II
cekal, cerdik lagi cermat.

Syukur pada Tuhan
kerna rahmat-Mu
aku bahagia
dengan tiga Chintaku.


(Selamat Hari Wanita Sedunia buat kaum Hawa, yang serupa tetapi tidak sama dengan ibuku tersayang)


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
Mac 2006

Nota Kaki:

  1. Sajak ini dikarang sempena Hari Wanita Sedunia.

No comments: