Bagi yang kenal aku, jalan cerita merupakan pertimbangan utama dalam melabelkan baik atau buruk sesatu filem itu. Kemudiannya, mutu lakonan para pendokong filem berkenaan serta mutu sinematografinya.
Atas sebab-sebab inilah, aku merasakan filem The Curious Case of Benjamin Button lebih layak dinobatkan sebagai Filem Terbaik berbanding Slumdog Millionaire.
Ada di antara kita yang berkali-kali merungut tentang masa, detik dan ketika yang sudah hilang. Ada juga yang berharap ada baiknya jika masa boleh diterbalikkan. Ini juga yang inginkan oleh Monsieur Gateau, yang mencipta jam gergasi yang berdetik secara mengundur, sebagai tanda ingatan kepada anak lelakinya yang mati di medan perang. Pengharapan yang melampau oleh tukang jam ini, agar masa boleh diterbalikkan, agar anaknya tidak ke medan perang.
Dan legenda ini yang membuka perspektif masa, detik dan ketika (baca: moment) serta hubung kaitnya dengan C.I.N.T.A di dalam filem The Curious Case of Benjamin Button.
Aku tak mahu menulis sipnosis filem ini kerana ia boleh dibaca di laman IMDB. Yang ingin aku kongsikan adalah sebab-sebab kenapa aku menyukai filem The Curious Case of Benjamin Button dan kenapa aku merasakan ianya wajar menang.
Jangan salah anggap, aku tidak sesekalipun menidakkan filem Slumdog Millionaire, yang aku akui adalah sebuah filem yang baik. Begitu juga filem Revolutionary Road dan Vicky Christina Barcelona. Menarik dan menepati kriteria untuk filem-filem yang baik. Aku belum berkesempatan untuk menonton lain-lain calon untuk kategori Filem Terbaik.
Akan tetapi aku merasakan The Curious Case of Benjamin Button membawa falsafah yang lebih menyeluruh, relatable dan lebih mempunyai makna, setidak-tidaknya kepada aku.
Keempat-empat filem yang aku sebut di atas turut mengangkat tema cinta sebagai latar cerita masing-masing, cuma pengkhususan yang berbeza-beza. Ada yang memperkatakan tentang kehebatan dan gahnya kuasa cinta, ada yang menghidangkan perkianatan dalam percintaan, dan ada yang merungkai konflik-konflik dalam percintaan. Dalam hal ini, keempat-empat filem ini seri.
Kecuali buah tangan terbaru Woody Allen, ketiga-tiga filem ini juga memperkatakan tentang harapan dan inspirasi (hope and inspiration). Harapan adalah minyak kepada api perjuangan dan harapan memotivasi manusia untuk mengejar impian dan merealisasikan pengharapan. Dan berdasarkan ketiga-tiga filem ini, harapan yang bersandarkan kepada C.I.N.T.A. pasti membungakan kebahagiaan abadi. Biarpun masing-masing membawa struggle yang berbeza-beza, namun perjuangan secara umumnya memerlukan harapan, inspirasi dan C.I.N.T.A. untuk berjaya.
Apa yang lebihnya filem The Curious Case of Benjamin Button adalah persepsi moment yang dikupas dengan baik sekali. Memang perjalanan hidup ini, asasnya adalah setiap detik, setiap denyut nadi kita. Namun, perjalanan masa sahaja tanpa pengisian adalah tidak bermakna. Di sinilah, kisah fantasi Benjamin Button, cuba dirungkai dengan moments yang kita semua pernah hadapi.
Keindahan saat 'pandangan pertama', tikanya kita mabuk asmara, kesepian dan kesunyian gara-gara ditinggalkan oleh tersayang, luka dan pedih akibat putus cinta biar dapat konteks atau situasi bagaimana sekalipun - kesan dan impaknya agak universal.
Usah diperdebatkan tentang logik atau tidak kehidupan Benjamin Button (nama pun, the curious case!), mungkin dari segi sains biologi ianya mustahil. Tetapi David Fincher secara tidak langsung cuba memberitahu kepada orang-orang yang gemar rungut tentang masa dan moments yang sudah hilang, jika diterbalikkan masa sekalipun, tidak lari daripada takdir yang sudah diputuskan.
Cate Blanchett sememangnya seorang pelakon yang baik. Di separuh kedua filem ini, kita dapat rasakan ketakutannya apabila memikirkan kenyataan bahawa dia makin hari makin tua manakala Benjamin pula makin hari makin muda.
Cuma aku tidak nampak kehebatan lakonan Brad Pitt, kerana dinamik lakonannya agak pipih. Aku masih lagi tertanya-tanya adakah pengkritik terpesona dengan ketampanannya atau dia benar-benar seorang pelakon yang hebat.
Berbanding filem Slumdog Millionaire, filem ini lebih nampak realistik dan lebih berpijak di bumi yang nyata di sebalik kesalahan premisnya. Mungkin Slumdog Millionaire yang dibikin sebagai tribute kepada Bollywood, tidaklah sesuatu yang baru untuk aku yang telah diperkenalkan tentang tema dan perwatakan filem-filem Bollywood sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Rating
The Curious Case of Benjamin Button: A
Slumdog Millionaire: A-
Vicky Christina Barcelona: A-
Revoluntionary Road: A-
1 comment:
dah...aku cuma kurang setuju ngan ayat "Cuma aku tidak nampak kehebatan lakonan Brad Pitt, kerana dinamik lakonannya agak pipih. Aku masih lagi
tertanya-tanya adakah pengkritik terpesona dengan ketampanannya atau dia benar-benar seorang pelakon yang hebat"
Bagi aku concept nya senang jer...
If you managed to hold on your own amidst a bunch of equally talented
actors in a screen, and still managed to make people remember you instead...
and...
the film managed to stand up soley based on one character, like Benjamin, then you one damn fine actor...
I've never been his fan but this might turn the opinion around.
Sama sekali tidak "pipih"
just my humble two cents. :)
Post a Comment