Wednesday 3 July 2013

Going Green this Aidilfitri!

Kepada kaum keluarga dan sahabat handai, tiada lagi want kertas baru untuk Aidilfitri kali ini. Semua not adalah yang dikitar semula.

Mari kita sama-sama menjayakan kempen "Going Green"!

Di bawah ini adalah pengumuman daripada Bank Negara Malaysia untuk bacaan semua :)


"Going Green" dengan Wang Kertas Yang Sesuai untuk Edaran Semula Semasa Hari Raya Aidilfitri

Dalam usaha menyokong agenda nasional "Going Green", Bank Negara Malaysia akan mengedar semula wang kertas denominasi RM1 dan RM5 yang sesuai untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan datang. Inisiatif ini merupakan usaha yang membabitkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM), Malaysian Environmental NGOs (MENGO) dan Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) untuk menggalakkan kelestarian sumber negara dan pemuliharaan alam sekitar.

Substrat polimer diperkenalkan pada tahun 2004 untuk RM5 bagi meningkatkan ketahanan wang kertas dan mengurangkan kos dan permintaan yang tinggi terhadap sumber yang digunakan dalam pengeluaran mata wang. Penggunaan substrat polimer diperluas untuk merangkumi RM1 pada tahun 2012 apabila wang kertas polimer RM5 mencapai rekod penggunaan yang positif. Wang kertas polimer dapat bertahan 2 hingga 3 kali lebih lama berbanding dengan wang kertas biasa. Dicetak menggunakan substrat yang sangat tahan lama, wang kertas RM1 dan RM5 dapat kekal dalam edaran lebih lama dan lebih berupaya untuk mengekalkan kualiti keselamatan dan estetika sepanjang hayat penggunaannya. Memandangkan hanya wang kertas yang berkualiti tinggi akan diedar semula, orang ramai adalah digalakkan untuk menggunakan wang kertas yang sesuai ini sebagai "duit raya".

Setiap tahun Bank Negara Malaysia mengeluarkan lebih kurang 750 juta keping wang kertas RM1 dan RM5 bagi memenuhi permintaan bermusim untuk Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Walau bagaimanapun, lebih kurang 70% daripada wang kertas yang dikeluarkan tidak diperlukan untuk urus niaga pembayaran biasa. Wang kertas tersebut dipulangkan sebagai deposit sejurus selepas musim perayaan dan menyebabkan lebihan pengumpulan wang kertas RM1 dan RM5 di Bank Negara Malaysia. Cetakan tambahan 500 juta keping wang kertas untuk memenuhi permintaan perayaan menyebabkan kos dan permintaan yang tinggi terhadap sumber negara. Pengeluarannya menggunakan lebih daripada 80 ton dakwat dan 2 juta kWh elektrik yang cukup bagi kegunaan 7,500 rumah di Malaysia untuk sebulan.

Bagi musim perayaan ini, orang ramai diberikan jaminan bahawa terdapat kertas yang mencukupi dalam semua denominasi. ABM dan AIBIM akan bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha ini untuk membantu aktiviti kitar semula wang kertas yang sesuai dengan mengeluarkannya melalui cawangan bank dan mesin ATM. Orang ramai digalakkan untuk menyokong usaha nasional "Going Green" dan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan semangat mengurangkan pembaziran dengan menyokong penggunaan wang kertas edaran semula.

No comments: