Thursday, 28 February 2013

Ulang Terbit: Perempuan-perempuan Celaka Itu

Sementara menanti minda ini bangkit untuk menukilkan sajak-sajak terbaru, izinkan aku menyiarkan kembali koleksi sajak peribadiku di Aku dan Sajak untuk segmen Ulang Terbit, pada setiap hari Khamis.



Perempuan-perempuan Celaka Itu

Petang yang bukan petang
datang dua perempuan
terkedek-kedek
menagih perhatian
mengemis sokongan
merayu kasih
dengan hati hitam gelap
dengan senyum pura-pura
dengan mulut berbisa.

Petang yang bukan petang
datang dua perempuan
yang sepi dan keseorangan
bukan tiada jantan
tetapi tiada lelaki
lantas diri-diri itu jadi kontang
dan kekontangan itu buat tanah kian gersang
dan masa terus menghambat dan menghambat
penantian hujan rahmat yang tiada kunjung tiba.

Petang yang bukan petang
perempuan dan perempuan itu
datang terkedek-kedek
mengumpul semangat
dari mulut-mulut tiada nyawa
dari tubuh-tubuh tiada harga
buat pendinding
dalam peperangan yang tiada gaduh
dalam persengketaan yang tiada musuh.

Petang yang bukan petang
dua perempuan yang terkedek-kedek itu
mengilai suka dan bangga
melihat api marak
melihat bayu lari lintang pukang
melihat air mata turun menghujan.

Petang yang bukan petang
perempuan itu dan perempuan itu
lupa bahawa Tuhan itu satu
lupa bahawa ada syurga ada neraka
lupa dunia ini sementara.

Petang yang bukan petang
perempuan-perempuan itu
terus bermuka-muka
terus bertopeng-topeng
dan mereka bangga, mereka suka
mereka ada jantan
mereka ada semangat
mereka ada api
mereka ada kemenangan.

Perempuan-perempuan celaka itu
dalam diam menangis
setiap kali jantan mereka hadir
setiap kali mereka tersedar
mereka tiada lelaki
mereka tiada nyawa
mereka tiada air
mereka tiada ketenangan.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
Ogos 2004
Post a Comment