Thursday 7 February 2013

Ulang Terbit: Manusia Banyak Nama

Sementara menanti minda ini bangkit untuk menukilkan sajak-sajak terbaru, izinkan aku menyiarkan kembali koleksi sajak peribadiku di Aku dan Sajak untuk segmen Ulang Terbit, pada setiap hari Khamis.



Manusia Banyak Nama

Dia yang banyak nama  
biar apa dipanggil 
maknanya tetap sama 
KEDI. 

Panggillah dengan nama apa sekalipun 
tapi biarlah yang indah 
bukannya PAPAK 
atau WANDU. 

Dan dia juga hamba Allah 
MANUSIA: 
ada yang lelaki, 
ada yang perempuan 
kadangkala baik, 
kadangkala buruk. 

Tiada beza SANGKAN dengan kau dan aku 
masing-masing berasa 
suka disukai 
benci dibencikan 
dan kita sama-sama istimewa 
sama-sama cacat 
dan kerana itu kita jangan bongkak 
sombong dengan Allah Yang Maha Sempurna. 
  
Kau dan aku dan juga PONEN 
wajib nasihat bernasihat 
supaya kita tidak tergelincir 
dari landasan yang Muhamad bina. 

Mungkin kau nampak gagah 
dan BANCI tampak tiada kudrat 
tapi itu bukan ukuran 
kerana manusia yang kuat 
akal dan imannya berkuasa 
bukan amarah yang jadi raja. 

Kita bukan Tuhan 
syurga neraka bukan ciptaan kita 
biarlah Allah dengan hak-Nya 
kita dengan tugasan kita 

Kita pun banyak nama 
sebab kita manusia...  


Hasmi Haron  
Kuala Lumpur, MALAYSIA 
27 April 2002 


Nota Kaki:

  1. Karya pertama yang mengangkat isu racism dan sexism

No comments: