Saturday, 8 October 2011

Intipati Belanjawan 2012 Barisan Nasional

This article was taken from Harian Malaysia.


KUALA LUMPUR 8 Okt. – Berikut ialah intipati Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat semalam:

* Pengenalan beberapa program transformasi sektoral berpayung pada Dasar Transformasi Nasional (DTN) mulai 2011-2020.

* RM238.8 bilion untuk semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat, di mana RM181.6 bilion ialah perbelanjaan mengurus dan RM51.2 perbelanjaan pembangunan.

* RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas, melalui Private Financing Inititative (PFI), dengan projek berjumlah RM6 bilion akan dilaksanakan.

* Tahun 2012 diumumkan sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional dan sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa inisiatif strategik.

* RM50.2 bilion diperuntukkan bagi sektor pendidikan dengan RM1.9 bilion peruntukan pembangunan untuk Kementerian Pelajaran yang akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah.

* Peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelengaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

* Pemansuhan bayaran kokurikulum, kertas dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful sebanyak RM24.50 dan RM33.50 masing-masing bagi sekolah rendah dan menengah mulai sesi persekolahan 2012.

* Sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah akan diberi potongan cukai bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut.

* Terminal Agrobisnes Negara (TEMAN) sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, Perak akan dimajukan sebagai projek perintis Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) manakala empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.
* Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil dengan dana berjumlah RM100 juta disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar empat peratus.

* RM110 juta bagi melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar.

* RM140 juta diperuntukkan kepada RISDA bagi melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

* RM5 bilion disediakan untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asasluar bandar secara lebih komprehensif.

* RM500 juta untuk meneruskan pelaksanaan Projek Penyelengaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), yang membuka peluang kepada hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.

* RM50 juta untuk memperluaskan projek bekalan air menggunakan kaedah tadahan air hujan ke Sabah.

* RM400 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di kawasan-kawasan FELDA terpilih, selain RM50 juta untuk menambah baik kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada.

* RM150 juta akan disalurkan ke Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank untuk menambah baik perkhidmatan bas bagi masyarakat luar bandar.

* RM90 juta untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan untuk masyarakat Orang Asli.

* Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), selain menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama.

* Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Di samping itu bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

* Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.

* Mulai tahun 2013, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak 2 peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

* Kerajaan bersetuju melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

* Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan yang mana bayaran itu akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

* Peruntukan RM120 juta untuk bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam dengan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam termasuk guru.

* Menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.

* Pemberian bayaran khas sebanyak RM3,000 secara “one-off” kepada 4,300 orang kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang telah menamatkan kontrak.

* RM442 juta untuk perbelanjaan pembangunan Polis Diraja Malaysia termasuk pembinaan projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.

* RM500 juta diperuntukkan di bawah program “Army Care” untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.

* RM50 juta untuk melaksanakan program latihan khusus untuk anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.

* Pemberian sumbangan sebanyak RM3,000 secara “one-off” kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat.

* Peruntukan RM1.1 bilion bagi pembangunan sektor pertanian.

* Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi dengan peruntukan RM300 juta.

* Meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009, yang memberi manfaat kepada 1 juta isi rumah.

* Lebih RM1 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin, kanak-kanak miskin dan Orang Kurang Upaya, yang akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 rakyat.

* Pembukaan 85 unit tambahan Kedai Rakyat 1Malaysia dengan peruntukan RM40 juta.

* Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.

* RM443 juta bagi membina 8,000 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) disewa dan 7,000 unit PPR dimiliki.

* RM63 juta untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai, selain RM40 juta bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.

* Mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan RM300 juta.

* Sektor perkhidmatan kesihatan menerima peruntukan RM15 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

* RM300 juta untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di mana RM50 juta daripadanya akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.

* Pemilik teksi bajet persendirian diberi pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

* Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.

* Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi 7 tahun tetapi kurang daripada 10 tahun, manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan RM1,000 akan diberikan.

* Peruntukan RM320 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk golongan belia.

* RM15 juta bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dicapai, di samping RM50 juta bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau “artificial turf” yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih di seluruh negara.

* Mulai 1 Jan 2012, semua warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

* Pemberian bantuan tunai secara “one-off” RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup.RM1.8 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini.

* Bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di seluruh negara, selain pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar
tingkatan enam di seluruh negara.

* Membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal untuk menunaikan ibadah haji melalui penghadangan atau “ring-fencing” Akaun 2 pencarum sebanyak RM1,300.
Post a Comment