Kepada kaum keluarga dan sahabat handai, tiada lagi want kertas baru untuk Aidilfitri kali ini. Semua not adalah yang dikitar semula.
Mari kita sama-sama menjayakan kempen "Going Green"!
Di bawah ini adalah pengumuman daripada Bank Negara Malaysia untuk bacaan semua :)
"Going Green" dengan Wang Kertas Yang Sesuai untuk Edaran Semula
Semasa Hari Raya Aidilfitri
Dalam usaha menyokong agenda
nasional "Going Green", Bank Negara Malaysia akan mengedar semula wang kertas
denominasi RM1 dan RM5 yang sesuai untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Inisiatif ini merupakan usaha yang membabitkan Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air (KeTTHA), Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM), Malaysian
Environmental NGOs (MENGO) dan Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) untuk
menggalakkan kelestarian sumber negara dan pemuliharaan alam sekitar.
Substrat polimer diperkenalkan pada tahun 2004 untuk RM5 bagi meningkatkan
ketahanan wang kertas dan mengurangkan kos dan permintaan yang tinggi terhadap
sumber yang digunakan dalam pengeluaran mata wang. Penggunaan substrat polimer
diperluas untuk merangkumi RM1 pada tahun 2012 apabila wang kertas polimer RM5
mencapai rekod penggunaan yang positif. Wang kertas polimer dapat bertahan 2
hingga 3 kali lebih lama berbanding dengan wang kertas biasa. Dicetak
menggunakan substrat yang sangat tahan lama, wang kertas RM1 dan RM5 dapat kekal
dalam edaran lebih lama dan lebih berupaya untuk mengekalkan kualiti keselamatan
dan estetika sepanjang hayat penggunaannya. Memandangkan hanya wang kertas yang
berkualiti tinggi akan diedar semula, orang ramai adalah digalakkan untuk
menggunakan wang kertas yang sesuai ini sebagai "duit raya".
Setiap tahun Bank Negara Malaysia mengeluarkan lebih kurang 750 juta keping
wang kertas RM1 dan RM5 bagi memenuhi permintaan bermusim untuk Hari Raya
Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Walau bagaimanapun, lebih kurang 70% daripada
wang kertas yang dikeluarkan tidak diperlukan untuk urus niaga pembayaran biasa.
Wang kertas tersebut dipulangkan sebagai deposit sejurus selepas musim perayaan
dan menyebabkan lebihan pengumpulan wang kertas RM1 dan RM5 di Bank Negara
Malaysia. Cetakan tambahan 500 juta keping wang kertas untuk memenuhi permintaan
perayaan menyebabkan kos dan permintaan yang tinggi terhadap sumber negara.
Pengeluarannya menggunakan lebih daripada 80 ton dakwat dan 2 juta kWh elektrik
yang cukup bagi kegunaan 7,500 rumah di Malaysia untuk sebulan.
Bagi musim
perayaan ini, orang ramai diberikan jaminan bahawa terdapat kertas yang
mencukupi dalam semua denominasi. ABM dan AIBIM akan bersama-sama mengambil
bahagian dalam usaha ini untuk membantu aktiviti kitar semula wang kertas yang
sesuai dengan mengeluarkannya melalui cawangan bank dan mesin ATM. Orang ramai
digalakkan untuk menyokong usaha nasional "Going Green" dan menyambut bulan
Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan semangat mengurangkan pembaziran dengan
menyokong penggunaan wang kertas edaran semula.
No comments:
Post a Comment