Wednesday, 20 February 2013

Tidak Bijak Menyemai Cinta Kepada Negara Lain

Note: The article was published on The Malaysian Insider.



Oleh: Subky Abdul Latif

February 20, 2013
20 FEB ― Kad Hari Raya Cina yang dipercayai dihantar ke rumah setiap pengundi Cina mengandungi petikan kata masyhur pemimpin besar pembaharuan parti komunis China, Deng Xiaopeng yang maksudnya kira-kira ibarat menyleberangi sungai sambil menyentuh batu.

Kata-kata hikmat Deng itu diungkapnya dalam program transformasinya, menguluarkan ekonomi kemunis China yang gagal di zaman Mao Zedung kepada ekonomi pasaran terbuka bagi menjadikan Tanah Besar China gergasi ekonomi dunia.

Kalau orang Melayu kagum dengan kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di duna”, maka demikianlah terpesonanya masyarakat Tionghua dengan kata-kata Deng itu.

Najib Razak dipercayai menggunakan kata Deng itu bagi meraih sokongan pengundi Cina dalam PRU13 ini. Demikianlah bergeliganya orang politik untuk menuai apa jua politik dari apa jua peluang.

Kalau peluang Barisan Nasional untuk meraih sokongan pengundi dari membawa artis Psy dari Korea dirasa kabur apabila ribuan penonton di Pulau Pinang secara spontan berkata “Tidak” kepada Najib ketika ia ditanyanya, apakah pengiriman kad kata-kata Deng itu dapat mengubat hatinya dan hati BN khususnya MCA?

Apa yang menarik kita ialah dalam kempen Najib memperkasakan semboyan 1 Malaysia mengikut acuan Malaysia sendiri, mengapa dia mempesonakan masyarakat Cina dengan keagungan tokoh pemimpin pembaharuan komunis China itu?

Pada ketika kita mahu bangsa Malaysia mesti bangga dengan kepintaran dan kebijaksanaan orang Malaysia dulu dan sekarang, kita mahu keturunan Cina bangga sebagai orang Cina Malaysia dan orang  India bangga sebagai orang Malaysia, apa bijaknya mengajurkan kepada warga kita kagum dengan orang dari negeri asalnya?

Kita tidak anti tamadun China dan tidak berseteru dengan kerajaan, rakyat dan pemimpin Tanah Besar China, tetapi tidak seronok kalau rakyat kita diajak berbangga dengan asal usulnya. Kita tidak boleh sekat Cina dari mengenang negara dan bangsa China sama seperti tidak dapat menghapuskan ingatan S. Samy Vellu kepada keturunannya, tetapi kita rasa tidak bijak disemaikan terus rasa cinta kepada asal usul itu oleh pemimpin seperti Perdana Menterinya pula.

Apa yang Najib buat itu menyamai apa yang bapanya Tun Razak buat semasa kunjungan rasminya ke Beijing merasmi permasyhuran diplomatik Beijing-Kuala Lumpur tahun 1974 dulu.

Saya bersama dalam rombongannya. Dalam setiap tempat yang dilawati Tun Razak menyebut kata-kata Mao yang jadi kebanggaan setiap komunis yang mendewakan Mao. Ketika ke kilang dia menyebut apa Mao kata tentang, ketika sekolah apa pula Mao kata tentang pelajaran.

Pada masa itu Malaysia masih sebuah negara anti-komunis dan kata-kata Mao itu adalah kata-kata semangat dan ransangan komunis.

Sebagai pemimpin Malaysia dan bangsanya ada nilai-nilai agung tersendiri, ajaib juga apabila Tun Razak mahir dengan qotation Mao dan menyebutnya di sana sini dalam lawatan itu.

Kita faham akan seni dan kepintaran diplomasi, tetapi tidak sampai kita boleh dilihat sebagai pencarum kepada orang lain.

Saya tidak pasti apakah Tun Razak buat begitu bagi mengikis stigma yang beliau masa itu dikatakan tidak mesra Cina? Dan adakah Najib juga memanfaatkan kata-kata Deng disebabkan pengundi Cina dikatakan tidak mesra BN?

Tetapi langkah yang pintar ialah biar kita rebah dan bangun dengan jatidiri orang Malaysia sendiri. Bukan melalui kebijakisanaan orang lain.

Adakah kad raya dengan kata-kata Deng Xiaopeng itu BN dapat meraih semula undi orang-orang Cina?

No comments: