Thursday 29 January 2015

Banda Aceh, Aku Datang

Sudah lama aku teringin untuk menjengah ke bumi yang pernah dilanggar tsunami kurang lebih sedekad lalu.

Pada awalnya, kami bertiga - aku, Aidie dan Mazlye. Dua tiga hari sebelum berangkat, Aidie menghantar mesej yang mengatakan bahawa dia tidak dapat sertai lawatan bersama-sama kami :(

Nasib baik Mazlye bersetuju untuk teruskan juga. Langsung kami ke Banda Aceh dengan tiada tempah penginapan dan pengangkutan, kerana tempahan awal yang aku buat telah dibatalkan gara-gara diyakini oleh Aidie agar menggunakan khidmat kawannya di Banda Aceh. Namun, apabila Aidie membatalkan pemergiannya, rencananya lenyap juga.

Alhamdulillah, penerbangan yang mengambil masa sejam sejam 15 minit itu telah selamat mendarat di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda sekitar jam 1.35 tengahari, waktu tempatan.

Mengikut wikitravel, keluar sahaja dari terminal lapangan terbang itu, belok kiri dan terus berjalan sehingga nampak airportbus. Hasilnya? Nan ado!

Aku segera bertanya dengan gadis di kaunter Rotiboy tentang jadual bas ke pusat bandar. Katanya, sejam lagi.

Diusik rasa khuatir akan ketinggalan feri terakhir di Pulau Weh (Sabang), kami terus setuju dengan pujukan abg Amir untuk menggunakan khidmat teksi sapunya. Harga yang diputuskan adalah 140,000 + 10,000 (taxi tax???), terus kereta jenis Avanza itu bergerak ke Pelabuhan Ulele. Dalam perjalanan ke sana, abg Amir rancak menunjukkan kawasan-kawasan yang terkesan dengan bencana tsunami. Di samping itu, ada juga penempatan baru yang dibina dengan dana dari luar. Jalan raya yang dilalui itu dikatakan dibiayai oleh kerajaan Jepun.

Sempat juga abg Amir berhenti di satu mass grave, yang menjadi tempat bersemadi 40,000  jenazah.

Di terminal feri, ada dua pilihan pengangkutan ke Pelabuhan Balohan (Pulau Weh) iaitu feri cepat and feri perlahan. Memandangkan kami masih belum ada penginapan di Sabang, niat di hati agar segera sampai dan terus cari hotel di Sabang. Ada dua syarikat yang mengendalikan iaitu Kapal Cepat dan Rondo Feri. Kami pilih Kapal cepat kerana kaunter itu sahaja yang berpenjaga. Kami membeli tiket Eksekutif yang berharga 85,000 seorang. VIP tiket berharga 105,000 dan cuma ada 30 kerusi sahaja dan pembelinya akan dihidang snek ringan.

Balik nanti, kami ingin menggunakan feri perlahan kerana menurut seorang wanita yang duduk di belakang aku, beza masa perjalanan cuma 15-20 minit sahaja. Ada dua jenis tiket juga, yang mahal berharga 60,000 dan yang murah berhargs 25,000.

Sampai sahaja di Pelabuhan Balohan, aku mengekori wanita yang menjadi rakan borak dalam feri tadi, dengan harapan dia boleh dapatkan pak supir yang bisa membantu kami mencari hotel di Kota Sabang.

Supir kami bernama Pak Jaafar, orang tempatan yang ada iras-iras orang Asia Selatan. Rancak juga beliau berbicara tentang Sabang dan kawasan-kawasan sekitarnya. Sabang adalah pusat pentadbiran dan perniagaan di Pulau Weh. Akhirnya kami mendapat kamar di Hotel Citra dengan harga 250,000 semalam. Hotel ini baru dua tahun beroperasi dan warnanya ungu agak menyerlah!

No comments: