Sunday, 9 August 2015

Orang Kita Tidak Hirau Kebenaran

Pagi Ahad yang sejuk di Melaka, ditambah enaknya dengan sepiring Mee Melah, nasi lemak 70 sen dan kopi O kampung.

Duduk senyap-senyap, dikelilingi orang-orang tempatan, sesekali tercuri-dengar perbualan terhangat warung kopi.

Tanah keretapi.

Susah untuk cari rumah mampu dimiliki.

Handphone.

Anak-anak kahwin dan keluar rumah.

Berbeza dengan mood di ibukota dan di alam maya. Orang sini tidak suka risau-risau. Mungkin mengamalkan positivity in life!

Atau mereka betul-betul tidak peduli sebab pi mai pi mai tang tu. Jadi, mengapa perlu diberatkan kepala dengan hal-hal remeh.

Sesekali, di corong radio meneriakkan kempen sambutan kemerdekaan. Hargai kemerdekaan, syukuri kemerdekaan, antara intipadi yang dilaung-laungkan. Bagaimana pula rayakan kemerdekaan?

Di kala Syawal kian hampir di penghujung, Muslim bebas merayakan kemenangan masing-masing melawan nafsu dan menginsafi nilai sebenar nikmat dan rahmat Allah. Kita bebas merayakan kemenangan ini selagi tidak menyimpang dari syariat Islam. Ada yang menunaikan puasa enam, ada yang mengadakan rumah terbuka, ada juga yang bercuti ke luar negara.

Tetapi bila bicara tentang 31 Ogos, mengapa kita tidak merayakannya sebebas-bebas mungkin selagi tidak melanggar syariat Allah?

Rakyat yang bebas tidak perlu ditakut-takutkan tentang itu dan ini. Rakyat yang bebas mampu menilai yang mana buruk, yang mana molek. Rakyat yang bebas akan melihat jauh, tidak terhenti yang kepada kehidupan esok pagi sahaja.

Kebebasan yang ada patut diraikan. Jangan puas setakat wujud DNA dari Male Y dalam dubur Saiful. Jangan puas setakat RM2.6 bilion adalah derma. Jangan puas setakat landasan kapal terbang bertakung adalah sesuatu yang biasa untuk lapangan terbang baru.

Kebebasan yang Allah beri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Allah taala berfirman, "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan".
Jadi, jangan malu dan malas untuk membaca.

Pepatah Melayu juga mengatakan, "Malu bertanya, sesat jalan". Jadi, bertanyalah.

Benarkah orang kita tidak hirau kebenaran? Yang pasti, saya bukan begitu.

Awak?

Sent from my iPhone

No comments: