Sehari dua sebelum Aidilfitri, para netizen berdiskusi di Facebook tentang seorang ayah membawa tiga orang anaknya menaiki motorsikal pulang ke kampung.
Seminggu kemudiannya, viral lagi di Facebook tentang seorang peniaga yang pemurah, mendermakan sebuah kereta Iswara kepada keluarga ini untuk kegunaan seharian. Itupun, setelah puas memujuk si ayah selama dua jam untuk menerima pemberian ini.
Sekarang, tertanya-tanya benak ini apakah kereta itu bakal menyelesaikan hal ini - pulang ke kampung dengan selamat.
Hati ini juga tertanya-tanya, ke mana suri rumah keluarga ini? Adakah mereka mempunyai anak-anak yang lain? Tidakkah mereka juga pulang ke kampung untuk beraya? Bagaimana ya? Satu demi satu soalan datang tanpa jawapan.
Pada aku, masyarakat perlu disedarkan tentang bahaya menunggang motorsikal berempat sejauh 300-400 km itu. Mungkin si ayah menunggang dengan cermat tetapi ada juga kemalangan yang berlaku ekoran kelalaian pemandu yang lain. Aku tidak pernah menunggang motorsikal hampir 20 tahun tetapi aku pernah memandu lebih jauh daripada itu. Sedikit sebanyak keletihan tetap dirasa.
Mungkinkah itu adalah pilihan yang paling ekonomikal tetapi faktor keselamatannya bagaimana pula?
Aku rasa isu sebenar adalah kos sara hidup. Jika betul telahanku, pemberian kereta tersebut belum tentu akan membantu keluarga ini ke sana ke sini dengan murah dan selamat.
Aku rasa lebih sesuai bantuan diberi dalam bentuk pemberian tiket bas ekspres kepada keluarga ini. Jika sesiapa mempunyai maklumat lanjut tentang keluarga ini, mungkin boleh dipanjangkan kepada aku supaya boleh diusahakan inisiatif #TiketBasUntukPulangKeDesa.
Apa-apa pun, aku berdoa kepada Allah taala semoga keluarga ini diberikan perlindungan dan kelapangan hidup.
Sent from my iPhone
No comments:
Post a Comment