Monday 31 August 2015

Mari Merdekakan Diri Kita

Tahun ini kemerdekaan negara ini diraikan dengan berbeza gayanya.

34 jam sebelum tiba 31 Ogos, kurang lebih 230,000 rakyat berhimpun secara aman di sekitar Dataran Merdeka untuk menyuarakan lima tuntutan iaitu:
1) Pilihan raya yang bebas dan adil;
2) Kerajaan yang telus;
3) Hak untuk berdemonstrasi;
4) Mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen; dan
5) Menyelamatkan ekonomi negara.

Sekurang-kurangnya satu daripada tuntutan tersebut telah tertunai, hak untuk berhimpun dengan aman.

Tahniah buah pihak penganjur, Polis Diraja Malaysia dan 230,000 peserta Bersih 4.0 kerana membuktikan rakyat Malaysia boleh berdemonstrasi secara aman dan matang.

Dua tuntutan yang kian nampak pentingnya adalah keperluan rakyat bertindak segera untuk sebuah kerajaan yang telus bagi membetulkan persepsi awam dan antarabangsa tentang kedudukan ekonomi negara.

Rakyat sekarang semakin demanding! Jawapan seperti "ini adalah fenomena global" tidak boleh ditelan bulat-bulat tanpa disokong dengan hujah dan fakta. Memang kejatuhan matawang dirasakan oleh beberapa negara lain seperti China, Australia dan Indonesia tetapi kenapa kerajaan-kerajaan yang boleh membuat persediaan awal agar tidak teruk kesan yang dialami mereka?

Oleh itu, kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri perlu lebih kreatif dan logik dalam berhujah dengan rakyat. Bak kata Sultan Johor, "Jangan perbodohkan rakyat!"

Semoga rakyat lebih bebas menyuarakan kritikan dan idea selepas ini dan moga kerajaan tidak lagi berlagak serba tahu dalam dunia yang kian mencabar ini. Kerajaan usah takut dengan keberanian rakyat mengutarakan pandangan mereka kerana suara-suara itu adalah "check and balance" buat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Malaysia. Jika sesatu dasar itu didapati pincang, tidak terlambat untuk mengakui kesilapan, belajar daripadanya dan move on!

Rakyat juga usah terpengaruh dengan bisikan-bisikan perkauman dan keganasan yang cuba memecahbelahkan perpaduan kita. Malaysia lahir daripada muafakat dan toleransi nenek moyang kita yang nampak kebaikan dan manfaat negera ini bebas daripada belenggu penjajah dalam mengatur perjalanan kita. Oleh itu, raikan kepelbagaian kita untuk saling lengkap melengkapi dalam berdepan dengan cabaran demi cabaran.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan buat seluruh rakyat Malaysia. Merdeka dan bersih tanahairku!

No comments: