Wednesday 18 June 2014

Laksanakan tender terbuka spekrum mudah alih

Oleh: Datuk Nur Jazlan Mohamed
[The article was first published on The Malaysian Insider dated 17 June 2014]


Kepesatan industri telekomunikasi mudah alih di negara ini tidak boleh dipertikaikan lagi dengan jumlah pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini, tidak lagi terhad kepada golongan kaya semata-mata tetapi turut menjangkau segenap lapisan rakyat.

Malah, kadar penggunaan telefon mudah alih di Malaysia dikatakan antara yang tertinggi di dunia dan ia dibuktikan dengan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bahawa penggunaan telefon mudah alih di negara ini melebihi jumlah rakyat di Malaysia.

Namun sejak kebelakangan ini, rata pengguna telefon mudah alih mula berdepan dengan pelbagai masalah yang melanda talian mereka, terutama sekali yang menggunakan perkhidmatan data.

Masalah seperti “dropped calls”, kelajuan data tidak mencapai kelajuan optimum seperti  diiklankan walaupun berada dalam lingkungan liputan 4G seperti yang didakwa syarikat telekomunikasi menyebabkan ramai pengguna yang merasakan tertipu.
Saya sendiri tidak terkecuali daripada masalah berkenaan walaupun menggunakan talian Celcom milik syarikat Axiata yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui Khazanah Nasional.

Walaupun berada di rumah berdekatan dengan Parlimen dalam kawasan Kuala Lumpur, talian telefon mudah alih yang mudah terputus atau “dropped calls” terus menghantui saya, dan lebih teruk lagi, kadang-kala, telefon mudah alih menunjukkan tiada sebarang liputan walapun berada di Kuala Lumpur.

Keadaan ini, benar-benar menyebabkan saya merasa tertipu dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan percaya, ia bukan perasaan saya seorang bahkan dikongsi ribuan pengguna talian mudah alih ini.

Pengumuman syarikat telekomunikasi mudah alih ini, yang baru-baru ini, membuat pengumuman untuk membuat pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi menaik taraf perkhidmatan liputan talian mudah alih sepatutnya sudah lama dilakukan.

Ini kerana pengguna talian mudah alih di negara ini, berkembang dengan begitu pesat malah statistik SKMM mendapati pengguna talian mudah alih di Malaysia menjangkau hampir sekali ganda daripada jumlah penduduk negara yang berjumlah kira-kira 28 juta orang.

Sebagai bekas Pengarah syarikat TM Bhd, saya pernah dimaklumkan semua syarikat talian mudah alih diwajibkan memberikan tahap mutu perkhidmatan sekurang-kurangnya 98% sentiasa terpasang setiap masa daripada apa yang mereka tawarkan kepada pengguna.

Jika mereka gagal memberikan perkhidmatan berkenaan, kerajaan melalui SKMM berhak mengenakan denda kepada syarikat terbabit dan ia dibuktikan dengan kenyataan SKMM beberapa syarikat talian mudah alih ini telah didenda kerana gagal memberikan perkhidmatan seperti yang ditawarkan kepada pengguna mereka.

Bagaimanapun, isu berkaitan industri telekomunikasi mudah alih ini, dilihat amat rumit untuk difahami penggunanya dan terpulang kepada kerajaan melalui SKMM untuk mengawal selia syarikat telekomunikasi daripada terus membebankan rakyat tanpa memberikan perkhidmatan setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

Rungutan terhadap mengenai isu “dropped calls”, kelajuan data yang perlahan walaupun frekuensi menunjukkan isyarat penuh LTE atau 3G, kerap kali menjadi sungutan pengguna rangkaian mudah alih yang dilihat tertipu dengan perkhidmatan selular yang ditawarkan.

Selain itu, sesuatu yang memelikkan apabila pengguna telefon mudah alih sentiasa dihujani panggilan daripada telemarketer yang mendapat maklumat mengenai pengguna talian berkenaan sekaligus menyebabkan saya mengesyaki wujudnya sindiket menjual maklumat peribadi pengguna yang mungkin didalangi kakitangan syarikat telekomunikasi mudah alih kepada pihak ketiga.

Sedangkan, semua data serta maklumat peribadi pengguna talian mudah alih ini dilindungi Akta Perlindungan Peribadi dan seharusnya, SKMM turut melihat masalah ini bagi melindungi kepentingan pengguna.

Sebenarnya, apa yang berlaku dalam industri telekomunikasi mudah alih ketika ini, syarikat telekomunikasi dilihat lebih membuat pelaburan kepada “front end” sistem mereka serta mengabaikan keperluan untuk memperluaskan paip rangkaian mereka yang disambung kepada pusat sambungan rangkaian (NOC).

Keengganan syarikat telekomunikasi untuk membuat pelaburan terhadap sistem “back end” ini, iaitu memperbesarkan paip rangkaian menyebabkan kelajuan data tidak dapat dioptimumkan sekaligus ia suatu bentuk penipuan kepada pengguna.

Suatu ketika dulu, pengguna telefon mudah alih di negara ini banyak bergantung kepada panggilan suara atau sistem pesanan ringkas yang tidak memerlukan penggunaan sistem rangkaian yang besar dan laju.

Namun apabila berlaku evolusi dalam perkhidmatan telekomunikasi mudah alih dunia, dengan Internet mula boleh dilayari di telefon mudah alih, ia menuntut kepada jaringan rangkaian yang lebih laju dan besar.

Kegagalan untuk memperbesarkan infrastruktur utama rangkaian ini, dengan penyediaan paip rangkaian yang lebih besar untuk untuk disambung dengan NOC mengakibatkan berlaku kesesakan dalam pengunaan telekomunikasi mudah alih sekaligus menyebabkan isu seperti “dropped calls” berlaku.

 Justeru, saya berpendapat SKMM perlu memainkan peranan lebih aktif dengan memastikan atau mewajibkan semua syarikat telekomunikasi mudah alih membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan rangkaian data mereka demi kepentingan pengguna.

Majoriti penguna masih tidak mengetahui perkhidmatan LTE memerlukan keupayaan kapasiti transmisi yang besar memandangkan jarak frekuensi talian ini tidak jauh.

Sekirannya, syarikat telekomunikasi mudah alih mahu memperluaskan perkhidmatan LTE ini, mereka perlu membina lebih banyak stesen pemancar dan penerima selain jumlah kuasa yang lebih kuat untuk memancarkan frekuensi ini.

Ia sekaligus akan meningkatkan kos operasi syarikat ini, yang sebenarnya tidak merasa tekanan untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan mereka memandangkan pengguna mereka kurang terdedah dalam perkara teknikal seperti ini.

Atas sebab itu, isu ini terus berlarutan dan syarikat terbabit terus mengaut keuntungan walaupun perkhidmatan tidak mencapai seperti apa yang ditawarkan kepada pengguna.

Selain itu, SKMM juga perlu melihat sama ada berlaku tindakan “oligopoli” antara syarikat telekomunikasi mudah alih di negara ini dalam menentukan kadar caj panggilan atau data kepada pengguna.

Ia disebabkan setiap tahun, kita mendengar dan membaca semua syarikat telekomunikasi di Malaysia terutama sekali syarikat telekomunikasi gergasi mengumumkan keuntungan beratus juta ringgit sedangkan tahap perkhidmatan yang disediakan seringkali menjadi rungutan kepada pengguna.

Malah, jika kita pergi ke negara lain, perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang ditawarkan mempunyai lebih banyak pilihan selain harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding di negara ini.

Sehubungan itu, saya merasakan adalah penting untuk SKMM untuk mendenda syarikat telekomunikasi mudah alih yang tidak mematuhi kualiti perkhidmatan (QOS) yang ditawarkan kepada pengguna.

Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan tender terbuka kepada syarikat telekomunikasi yang mahu mendapatkan tambahan spektrum mudah alih kerana ia sebenarnya adalah aset berharga kepada kerajaan.

Ketika ini, kadar bayaran yang dikenakan bagi mendapatkan spektrum ini adalah rendah dan jika proses tender terbuka dilakukan kerajaan akan dapat memastikan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang lebuh berkualiti.

Buat masa ini, syarikat telekomunikasi dilihat beroperasi dengan amat mewah dan mampu membayar gaji serta bonus yang tinggi kepada pengurusan syarikat seperti yang berlaku di Celcom.

Namun perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang ditawarkan seringkali menjadi rungutan kepada penggunannya sehingga menimbulkan persoalan ke mana wang keuntungan yang diperoleh dibelanjakan.

Kerajaan perlu memastikan bahawa syarikat telekomunikasi ini merasakan mereka “besar” melebihi SKMM yang bertindak sebagai badan pengawal dalam industri telekomunikasi di negara ini.

Sudah sampai masanya, SKMM memperlihatkan ketelusan kepada rakyat dalam mempamerkan bagaimana syarikat telekomunikasi ini mendapatkan lesen mereka dan beroperasi mengikut mutu perkhidmatan yang mereka janjikan kepada pengguna.

No comments: