Tuesday 6 May 2014

Aziz Sattar: Perginya anggota Bujang Lapuk yang terakhir

The article was first published on Free Malaysia Today.

Hari ini negara kehilangan anggota Bujang Lapuk yang terakhir, Datuk Aziz Sattar. Beliau, 89, meninggal dunia di Hospital Kajang awal hari ini setelah mengalami serangan jantung.

Pelakon protagonis dan pelawak dalam filem Bujang Lapuk itu meninggal dunia pada kira-kira pukul 2 pagi, menurut anak perempuannya Sandakiah.

Allahyarham berlakon bersama-sama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham S. Shamsuddin, sebagai trio Bujang Lapuk pada tahun 1950-an.

Jenazahnya dibawa dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas Zuhur hari ini.

Beliau lebih dikenali sebagai Aziz Sattar merupakan salah seorang seniman serba boleh. Beliau telah terbabit dalam bidang seni sebagai pelakon, pengarah filem, pelawak dan penulis skrip sepanjang kerjaya beliau.
Beliau dilahirkan di Pekalongan, Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura.

Sejarah hidup Aziz di Tanah Melayu bermula ketika berusia tiga tahun, apabila dia mengikut bapanya, Sattar Sawal dan ibunya, Satimah Jalal, berhijrah ke Singapura pada 1928. Dibesarkan di kampung Pasir Panjang, di situlah dia mempunyai dua kawan rapat yang turut menjadi pelakon terkenal – Allahyarham Salleh Kamil dan Allahyarham Shariff Dol.

Pelawak semula jadi
Aziz mendapat pendidikan Sekolah Melayu sehingga darjah lima. Dia tidak dapat menyambung pelajarannya ketika zaman pendudukan Jepun di Malaya. Pada umur seawal 10 tahun, beliau yang merupakan pelawak semulajadi telah mula menyanyi dan menari semasa majlis perkahwinan dan kenduri-kenduri di kampung. Dalam usia awal 20-an, dia menjadi pemandu lori dengan gaji sebanyak RM150.

Pada usia 15 tahun, Pak Aziz pernah diseksa askar Jepun kerana dituduh mencuri. Malah, beliau pernah merengkok dalam penjara selama enam bulan bersama ayah Seniwati Roseyatimah, Wak Jasni, kerana disyaki terbabit dalam kes rusuhan Natrah (Bertha Hertogh) di Singapura pada 1950.

Pada tahun 1950 beliau pernah menganggotai Pancaragam Suara Hiburan Keroncong, dan pada September 1951 berkerja di Studio Jalan Ampas, Singapura. Kehidupan Aziz mula berubah pada 1952 apabila dia diajak dua teman sekampungnya bekerja di studio Malay Film Productions.

Pada peringkat awal, dia sekadar bekerja sebagai juru alihsuara. Namun, dia terkejut kerana gajinya ketika itu jauh lebih rendah berbanding kerjanya sebagai pemandu lori iaitu hanya RM70 sebulan . Pada 1953, dia dipelawa berlakon sebagai watak tambahan dalam filem Putus Harapan. Filem pertama beliau membawa watak penting adalah filem Arjuna, diikuti siriBujang Lapok dan filem Aksi Kucing.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli Kumpulan Panca Sitara Panca Sitara versi 1990-an, bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarhamah Normadiah, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham Nasir P Ramlee.

Pak Aziz pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya saja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan Seniwati Dayang Sofia (isteri keempat – bercerai).
Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak, 19 cucu dan lima cicit.

Pada 16 Disember 2006, Datuk Aziz Sattar berkahwin dengan Datin Hashimah Delan. Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah, Khairuddin Haiyon di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dengan mas kahwin RM100.

Beliau telah berlakon dalam 44 buah filem iaitu Putus Harapan (1953), Mangsa (1953), Hati Iblis (1953), Jasa (1954), Arjuna (1954), Kipas Hikmat (1955), Ribut (1956), Putera Bertopeng (1957), Bujang Lapok (1957), Hantu Jerangkong (1957), Hantu Kubur (1958), Anak Pontianak [1958], Nujum Pak Belalang (1959), Raja Laksamana Bentan (1959), Pendekar Bujang Lapok (1959), Sumpah Wanita (1960)
Ali Baba Bujang Lapok (1961)Seniman Bujang Lapok (1961),Siti Muslihat (1962),Labu Labi (1962),Nasib Labu Labi (1963),Pilih Menantu (1963),Siapa Besar (1964),Mambang Moden (1964),Takdir (1965).
Pusaka Pontianak (1965),Aksi Kucing (1966 Malay Film Productions Ltd),Keluarga Si Comat (1975 Sabah Film Production),Prebet Lapok (1979 Indra Film Production),Penyamun Tarbus (1980 Indra Film Production),Da Di Du (1981 Indra Film Production),Darah Satria (1983),Bujang Lapok Kembali Daa… (1985,,Tarik Tarik (1993),Abang ’92 (1993),Layar Lara (1997),Jibon (1998), Pontianak Harum Sundal Malam (2004),Pontianak Harum Sundal Malam II (2005),Cicak-Man (2006),Anak Halal (2007),Setem (2009),Momok The Movie (2009, Kecoh Betul (2010).

Di samping itu Aziz Sattar telah mengarah 15 buah filem iaitu Keluarga Si Comat (1975 Sabah Film Production),Si Badol (1979 Sabah Film Production),Prebet Lapok (1979 Indra Film Production),Penyamun Tarbus (1980 Indra Film Production),Da Di Du (1981 Indra Film Production),Setinggan (1982),Darah Satria (1983),Tujuh Biang Keladi (1984 Nirwana Film Production),Bujang Lapok Kembali Daa.. (1985),Perawan Malam (1986),Tak Kisahlah Beb (1988),O.K. (1989),Adik (1990),Simfoni Duniaku (1994) dan Gelora Cinta.

Beliau telah memenangi anugerah  Filem Komedi Terbaik, Filem Festival Malaysia ke-2. (Filem: Penyamun Tarbus) pada tahun 1981, Anugerah Seniman Veteran (1994),,Filem Festival Malaysia ke-11,Menerima “Tokoh Budaya Kolej Burhanuddin Helmi” dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2000), Anugerah Seniman Veteran (Lelaki), Anugerah Bintang Popular (2000.).

Pada tahun 2007 beliau menerima gelaran Datuk , Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Al Fatihah buat beliau.

No comments: